Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu berjanji untuk mendedahkan pembohongan yang dilakukan oleh Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang kepada rakyat malam ini.
“Semalam Presiden Pas ‘tembak’ mengatakan bahawa mereka tinggalkan PR kerana parti DAP tolak hudud. Saya takkan jawab malam ini, saya akan jawab malam esok di Simpang Jeram, Muar.
“Saya akan jawab malam esok bagaimana seorang Presiden PAS membuat pembohongan kepada rakyat jelata. Saya akan jawab satu persatu malam esok pembohongan itu,” kata Mohamad yang juga adalah bekas timbalan presiden PAS dalam ucapannya di Ceramah Perpaduan Pulai yang diadakan di Nusa Bestari malam tadi.
“Aku bukan orang kecil, aku bekas timbalan presiden PAS. Jangan tipu rakyat di atas kopiah kami itu, ‘no more’,” katanya
Kenyataan Mohammad Sabu itu sebagai respon terhadap tuduhan Hadi dalam ucapannya di hadapan penyokong Pas pada satu program di Muar yang mendakwa, tindakan segelintir ahli dan bekas pemimpin parti itu menyertai Amanah adalah kerana takut kalah dalam pilihan raya.
Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja mengingatkan Abdul Hadi supaya menghentikan pembohongan kononnya Islam terancam.
Beliau berkata PAS dan sekutunya sanggup menggunakan agama Islam semata-mata untuk kepentingan mereka.
“Sebagai contoh di Selangor pada pilihan raya negeri (PRN) yang lalu, semasa kempen mereka menggunakan isu sekolah agama dan tahfiz diarahkan tutup, isu itu membuatkan pengundi Melayu percaya mereka.
“Padahal arahan Sultan Selangor pada waktu itu supaya semua sekolah agama yang tak ikut peraturan dan standard piawaian mesti ditutup sebab boleh mengundang bahawa, perlu buat pembaharuan jika mahu beroperasi semula.
“Isu itu menyebabkan mereka dapat sokongan sementara, saya yakin pembohongan mereka itu tak boleh bertahan hingga empat tahun akan datang. Saya yakin rakyat tak bodoh,” katanya.