Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

RSN Rayer (PH-Jelutong) membuat laporan polis terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN-Larut) ekoran dari dakwaan pemimpin tersebut bahawa polis bertindak mengikut rentak DAP.

“Saya telah membuat laporan polis seksyen 499 Kanun Keseksaan kerana beliau membuat fitnah jenayah terhadap DAP dan juga seksyen 504 kerana mencetuskan ketidakamanan dan mengapi-apikan rakyat Malaysia yang berbilang kaum,” kata Rayer dalam satu sidang akhbar di Pulau Pinang.

Hamzah turut menyalahkan DAP untuk masalah perkauman di Malaysia semasa sesi ceramah di Taman Medan, Selangor. Selain itu beliau turut memarahi anggota polis yang telah menjadi pengundi awal yang menyokong DAP.

Rayer turut menyatakan bahawa tuduhan yang dibuat terhadap partinya itu tidak berasas, tidak bertanggungjawab dan merupakan hasutan oleh Hamzah.

Beliau turut menyifatkan tindakan Hamzah memberi gambaran bahawa Perikatan Nasional semakin terdesak.

“Mereka membuat kenyataan yang jelas sekali menghasut semata-mata untuk memenangi pilihanraya dan sokongan golongan tertentu.”

Rayer turut merayu agar Perikatan Nasional memberhentikan kaedah politik kebencian dan sebaliknya berkempen secara berhemah.

Ini adalah kali kedua beliau membuat laporan polis terhadap pemimpin PN. Sebelum ini beliau telah membuat laporan polis terhadap timbalan pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang.