Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KULAI: Sejumlah 101.66 juta panggilan penipuan atau ‘spoof call’ disekat antara Februari hingga Ogos lalu, menerusi inisiatif baharu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama syarikat telekomunikasi tempatan.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata pelaksanaan ‘Inter-operator Spoofing Gateway’ yang mula diguna pakai awal tahun ini terbukti berkesan apabila trend panggilan penipuan mencatatkan penurunan mendadak pada Julai dan Ogos.

Beliau berkata, inisiatif itu hasil kolaborasi antara syarikat telekomunikasi di negara ini yang berfungsi untuk mengesahkan kesahihan nombor telefon pemanggil secara langsung bagi menyekat panggilan penipuan.

“Sistem ini berfungsi mengesan kegiatan ‘scammer’ di luar negara yang menggunakan teknologi spoofing iaitu memalsukan nombor telefon supaya kelihatan seperti menerima panggilan daripada nombor berdaftar tempatan.

“Melalui inisiatif ini, syarikat telekomunikasi berkongsi maklumat bagi menyemak status sebenar pemilik nombor telefon berkenaan sama ada berada di luar negara atau tidak. 

“Sekiranya tidak, panggilan itu disahkan sebagai ‘spoof call’ dan disekat serta-merta,” katanya pada program Tonton Wayang Bersama Ahli Parlimen Kulai di sebuah pusat beli-belah di sini, hari ini.

Berdasarkan pecahan bulanan, 28.92 juta panggilan disekat pada Februari, diikuti Mac (19.51 juta), April (17.12 juta), Mei (20.91 juta) dan Jun (13.11 juta).

Memasuki Julai dan Ogos, jumlah penyekatan menunjukkan penurunan ketara kepada hanya sekitar 2.4 juta panggilan bagi setiap bulan, membuktikan keberkesanan sistem berkenaan.

Sementara itu, Nie Ching berkata MCMC akan mengadakan mesyuarat dalam talian bersama Meta esok susulan isu akaun WhatsApp yang digodam dan disekat.

“MCMC juga akan menyemak tahap pematuhan (compliance) Meta terhadap Kod Mitigasi Risiko yang diterbitkan di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian.

“Keputusan dan tindakan lanjut berhubung isu akaun WhatsApp berkenaan bergantung kepada hasil dapatan mesyuarat itu kelak,” katanya.-BH Online