Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer (Jelutong – PH) telah membuat laporan polis terhadap presiden PAS merangkap Ahli Parlimen Marang Tan Sri Abdul Hadi Awang ekoran kenyataan pemimpin pembangkang tersebut bahawa keputusan pilihan raya negeri di enam negeri boleh membawa kepada kejatuhan kerajaan persekutuan.
“Saya telah membuat laporan polis terhadap beliau pada pagi ini di bawah seksyen 124 B dan 124C Kanun Keseksaan,” kata beliau di dalam satu sidang media.
Kedua – dua seksyen tersebut adalah berkaitan dengan kegiatan yang memudaratkan amalan demokrasi berparlimen.
“Kenapa masih kelirukan rakyat dengan kenyataan tidak bertanggungjawab?”
Rayer turut menyatakan kenyataan sama telah diulangi oleh pengerusi Perikatan Nasional Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Beliau menyatakan bahawa dakwaan pimpinan Perikatan Nasional sebegini adalah sama seperti dengan perbuatan menderhaka Agong.
“Tolong berhenti tipu rakyat. Ia tidak berasas kerana kita ada akta anti lompat parti
“Kenyataan ini dibuat untuk pengaruhi rakyat semasa berkempen di khalayak ramai.”
Ia bertujuan untuk “mengelirukan, menipu rakyat” dan “menderhaka kepada Agong”.
PRN di Pulau Pinang dan lima negeri lain akan berlangsung pada 12 Ogos.