KUALA LUMPUR: Malaysia dijemput sebagai tetamu kehormat bagi Harbin Expo 2027 ke-36 di China, susulan kejayaan produk KampungGOOD menembusi pasaran antarabangsa hasil penyertaan di ekspo berkenaan tahun ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, penyertaan Malaysia pada Harbin Expo 2026 ke-35 pada Mei lalu melibatkan pembukaan 39 reruai bagi memasarkan produk KampungGOOD.
KampungGOOD merupakan produk dihasilkan oleh usahawan dari Kampung Baru di seluruh negara dan telah melalui penilaian dalam pertandingan KampungGood Malaysia, sebelum dianugerahkan pensijilan oleh KPKT.
“Hanya pengusaha yang memperoleh sijil KampungGOOD akan dipilih untuk mewakili Malaysia di Harbin Expo 2027 bagi memastikan produk yang dibawa ke pasaran antarabangsa memenuhi tahap kualiti untuk mengharumkan nama negara.
“Bayangkan 1.4 bilion warganegara China makan, minum dan menggunakan produk-produk KampungGOOD negara kita.
“Berapa banyak peluang pekerjaan akan dapat kita kecapi, ini adalah satu usaha berterusan,” katanya dalam satu sidang media, di sini, pada Ahad.
Pertandingan KampungGOOD berlangsung dalam program WOW! Kampung Baru Expo Malaysia 2026 yang berlangsung dari 25 hingga 27 September di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Antara produk mencuri tumpuan dalam pertandingan KampungGOOD adalah Sos Cincalok Island dari Kampung Baru Rangkaian Sungai Pinang, Perak yang memperoleh anugerah emas.
Seterusnya Gula-gula Kacang Tumbuk Apong Heritaste dari Kampung Baru Sungai Jarom, Selangor yang meraih anugerah perak.
“KampungGOOD bukan sekadar satu pertandingan untuk mencari produk terbaik.
“Ia merupakan satu usaha untuk membina keyakinan usahawan Kampung Baru dan membuka ruang yang lebih luas kepada produk mereka agar berkembang ke pasaran lebih besar,” jelasnya.
Tambah Kor Ming, KPKT juga bercadang memohon peruntukan tambahan RM100 juta bagi meningkatkan dana pembiayaan pengusaha Kampung Baru daripada RM320 juta kepada RM420 juta mulai tahun 2027.
Selain itu, pengusaha Kampung Baru turut digalakkan mendapatkan pensijilan Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memperluas akses pasaran. -Astro Awani
