Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan telah mengumumkan pemberian bantuan khas sebanyak RM300 untuk penjawat awam gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak manakala pesara kerajaan akan menerima RM200.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan perkara ini berkata bantuan ini akan bermanfaat kepada 2.3 juta penjawat awam dan pesara.

“Sementara kajian gaji dan elaun diperincikan, kerajaan akan menyediakan bantuan khas penghargaan sebanyak RM300 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah serta RM200 kepada pesara kerajaan.

“Saya arahkan Kementerian Kewangan agar dapat meluluskan dan menyalurkan bantuan khas ini dalam tempoh dua minggu dari sekarang.

“Dengan pemberian permulaan ini, diharap penjawat awam akan terus berusaha gigih untuk menyokong hasrat melaksanakan pembaharuan Ekonomi Madani, memberi perkhidmatan terbaik, sekali gus membantu ruang fiskal kerajaan agar hasrat kerajaan untuk merealisasikan gaji baharu perkhidmatan awam menjadi kenyataan,” kata Anwar ketika berucap dalam majlis pelancaran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat.

Selain itu semua rakyat Malaysia dewasa dengan gaji tahunan RM100,000 ke bawah akan menerima kredit e-tunai sebanyak RM100.00. Sebanyak 10 juta rakyat dijangka menerima manfaat ini.

Sementara itu, beliau turut memperincikan kaedah yang akan dipergunakan dalam memacu ekonomi negara.

Peningkatan gaji kepada 45% KDNK negara akan dilaksanakan dengan menyemak semula gaji minimum dan memperkenalkan model gaji progresif yang selaras dengan produktiviti.

Levi pekerja asing berperingkat akan turut diperkenalkan dan hasil tersebut akan digunakan untuk program automasi dan latihan pekerja tempatan.

Untuk sektor perumahan pula, kerajaan akan memperkenalkan skim pinjaman perumahan yang membenarkan pembiayaan sehingga 120 peratus dari harga rumah bernilai sehingga RM300,000 dengan tumpuan di Lembah Kelang.

BACA JUGA: Tujuh penanda aras Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat