Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah mengesahkan bahawa seluruh barisan exconya telah dipanggil untuk soal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung kes kecurian nadir bumi dan salah guna kuasa.

Beliau bagaimanapun belum disoalsiasat lagi.

“Saya belum lagi (dipanggil SPRM) tetapi semua exco Kedah sudah dipanggil. Saya pun hairan sebab belum pernah lagi setiap seorang exco dipanggil untuk mengesahkan minit mesyuarat exco,” katanya di Wisma Darul Aman, Alor Setar.

“Sudah ada exco telah beri keterangan, ada yang belum lagi. Semua proses itu dilakukan di sini (Alor Setar), hari ni ada, esok pun ada. Saya mungkin selepas itu lah,” katanya lagi.

Pada 20 Julai, SPRM mengesahkan sudah memanggil 12 saksi berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa dalam isu kecurian REE di Kedah dan percakapan mereka telahpun dirakamkan.

Sehari sebelum itu, SPRM menahan ketua pegawai eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah bersama seorang pengarah wanita sebuah syarikat bagi membantu siasatan membabitkan nilai rasuah lebih RM13 juta.

Suspek masing-masing berusia 40 dan 63 tahun itu ditahan masing-masing di Alor Setar, Kedah dan di ibu negara.

Pada Isnin, seorang lagi pegawai kanan Menteri Besar Kedah ditahan anggota penguatkuasa SPRM selepas menahan seorang pembantu kepada pemilik syarikat, menjadikan keseluruhan tangkapan kini seramai empat orang.