Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mempertahankan kenyataannya berhubung dakwaan mengaitkan menteri besar sementara Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dengan kecurian unsur nadir bumi (REE) di Bukit Enggang, Sik.

Setiausaha Agung PKR itu membuat penegasan ini dalam suratnya bertarikh hari ini sebagai jawapan kepada surat tuntutan Sanusi.

Pasukan peguam Saifuddin dari firma guaman Nav & Co menegaskan bahawa anak guam mereka berpegang pada kenyataan berkenaan.

“Anak guam kami menafikan bahawa kenyataan itu berunsur fitnah atau mampu membawa sebarang implikasi fitnah.

“Anak guam kami tidak berniat untuk membicarakan perkara ini melalui surat-menyurat.

“Kami mempunyai arahan untuk menerima perkhidmatan proses undang-undang,” kata peguam menteri itu.

Pada 21 Julai, Sanusi dilaporkan berkata peguamnya akan menghantar surat tuntutan kepada Saifuddin berhubung dakwaan kecurian REE dan isu pembiayaan RM1.6 bilion daripada Sistem Maklumat Rekod Jalan Malaysia (Marris).

Terdahulu Sanusi mengumumkan hasratnya untuk menyaman Saifuddin berhubung dua isu berkenaan pada 16 Julai lalu.

Saifuddin mendakwa dia tidak mendedahkan kecurian REE untuk memburukkan imej Sanusi sebaliknya menunjukkan wujudnya isu penyelewengan pentadbiran.

Saifuddin juga sebelum ini mendakwa Sanusi telah menggunakan dana daripada Marris untuk penyelenggaraan jalan bagi tujuan pembangunan lain.