Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Presiden Parti Amanah Negara Datuk Seri Mohamad Sabu mengingatkan seluruh kepimpinan dan anggota partinya agar menumpukan fokus kepada pilihan raya negeri (PRN) di enam buah negeri dan bukannya berkenaan pengganti di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub kembali ke rahmatullah pada 23 Julai setelah menjalani pembedahan kerana mengalami pendarahan otak.

“Saya sendiri memberi komitmen untuk memberikan tumpuan kepada tanggungjawab di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan turun bersama-sama ahli ke bawah untuk melaksanakan gerak kerja pilihanraya,” kata Mohamad yang juga merupakan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan

“Tanggungjawab kita sangat penting untuk memberi kemenangan kepada calon-calon daripada parti yang bergabung dalam kerajaan perpaduan iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Mohamad menambah bahawa isu pengganti allahyarham akan diuruskan oleh kepimpinan parti dengan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

“Jangan memikirkan dahulu siapa yang akan menggantikan tempat allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub. Selepas ini barulah kita akan membincangkan dengan YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkait pengganti kepimpinan yang telah pergi.

“Jangan kita dilaga-lagakan oleh pihak lain dalam isu ini. Pihak kepimpinan AMANAH sendiri akan menguruskan sebaik-baiknya hal-hal berkait pengganti kepimpinan dan masa depan parti mengikut aturan-aturan dan amalan kebiasan parti.”