Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berjanji tidak akan meninggalkan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim sendirian, sebaliknya akan terus bersama melaksanakan visi dan misi dalam menerajui negara.

Timbalan Perdana Menteri itu turut berjanji akan menjalankan tanggungjawab serta mendokong segala hasrat Perdana Menteri terutama dalam mensifarkan kemiskinan tegar yang masih berlaku dalam kalangan rakyat.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Anwar menjalankan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri Malaysia dengan sangat baik dan berkerja secara laju, sekali gus memberi banyak manfaat kepada masyarakat.

“Semua yang dijanjikan ini bukan hanya retorik politik dan kami di pihak kerajaan melaksanakan dengan penuh iltizam kerana apa yang mahu dilakukan Anwar adalah terjemahan falsafah prinsip beliau sejak hampir 30 tahun lalu.

“Selain itu, kita juga harus melihat pemimpin dan ulama bergabung serta saling bekerjasama yang mana setiap nasihat diberikan perlu berlandaskan al-Quran dan hadis.

“Justeru, kami mendokong cita-cita Perdana Menteri dalam memperkukuhkan budaya serta agama tanpa mengetepikan agama lain,” katanya dalam ucapan di Program Sentuhan Kasih Desa Kelantan di Dataran KESEDAR Paloh 2, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, program hari ini bukan hanya untuk mendekati rakyat di kawasan bandar atau pekan tetapi juga kawasan pedalaman dengan tujuan agar kita dapat menyantuni setiap lapisan masyarakat.

“Kita turun padang tanpa mengira kumpulan sasaran serta mengetepikan warna politik, budaya dan kaum. Apa yang penting, di bawah kepimpinan Anwar, kita mahu supaya penyatuan pemikiran diterjemahkan dan ketepikan segala perbezaan dalam kalangan kita di seluruh negara.

“Sebagaimana yang kita tahu, Kelantan adalah negeri yang diperintah oleh kepimpinan yang tidak sealiran dengan Putrajaya (Kerajaan Perpaduan) tetapi selama ini kerajaan tidak pernah putus membantu negeri ini.

“Lebih-lebih lagi apabila apabila negara diperintah oleh Anwar sebagai Perdana Menteri yang sentiasa prihatin kepada rakyat di seluruh negara termasuk Kelantan,” katanya.