Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Penyertaan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini dilihat tidak akan menjejaskan peluang gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk memenangi undi pengundi muda.

Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh berkata Muda yang bertanding solo bukan ancaman.

“Apabila Muda membuat keputusan untuk bertanding (secara solo), terpulanglah kepada rakyat untuk menilai parti mana yang benar-benar membawa suara dan masalah mereka untuk didengari.

“Jadi, ia bukanlah mengenai sebuah parti yang hanya retorik semata-mata,” katanya ketika diminta mengulas mengenai usaha yang mula digerakkan oleh parti yang diterajui oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu dalam ‘memancing’ undi orang muda.

Beliau berkata demikian di sesi ceramah Pentas Anak Muda Madani Pulau Pinang yang turut dihadiri oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd. Halim serta ketua-ketua sayap Pemuda Perpaduan peringkat negeri di Guar Perahu, di sini malam tadi.

Dalam pada itu, Muhamad Akmal mengakui merasa kekok untuk berkongsi pentas ceramah dengan sekutu baharu BN iaitu Pakatan Harapan (PH) buat kali pertama.

“Kalau tak kekok itu pembohong lah. Memang kekok sebab kita tidak pernah sepentas dengan pemimpin PH sebelum ini. Tapi, saya percaya segalanya bermula dengan langkah pertama.

“Langkah pertama ini sepatutnya memberi manfaat kepada rakyat (secara keseluruhannya) dan bukan kepada parti-parti politik semata-mata,” katanya yang memberitahu, sokongan akar umbi terhadap gabungan dua parti besar itu juga dilihat semakin memberangsangkan ketika ini.”