Sorting by

×

Polis sedang menyiasat Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mohamad Sanusi Md Nor dalam isu 3R, kata Ketua Polis Negara.

Di samping Sanusi, turut disiasat dalam isu 3R adalah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Pengerusi DAP Lim Guan Eng dan juga Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Tan Sri Razarudin Husain siasatan ini dibuat melalui satu Task Force yang ditubuhkan oleh polis melibatkan 21 pegawai polis.

“Kita akan selesaikan kes ini dengan secepat mungkin melaui Task Force yang kita tubuhkan.

“Sejak 27 Mac, kita telah buka 61 kertas siasatan dalam isu 3R ini,” kata beliau dalam satu sidang media hari ini.

Dalam sidang medianya, Razarudin menasihatkan semua pihak agar jangan memainkan isu 3R terutama menjelang pilihan raya negeri ini.

“Isu ini sangat sensitif apatah lagi kalau ia melibatkan fitnah, terutama kepada institusi diraja,” kata beliau yang menyebut ada tiga seksyen yang digunakan untuk menyiasat kes ini termasuk Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia dan Akta Hasutan. 

Menurut Razarudin, isu 3R sangat sensitif dan perlu dielakkan terutama pemimpin.

“Saya perlu tekankan di sini, isu 3R, khasnya institusi diraja, melibat bangsa dan agama, sebenar ada juga pihak-pihak yang bercakap terlampau seronok.

“Bercakap tidak mengira perasaan orang, yang mengaibkan, memfitnah, ini sepatutnya tidak berlaku.

“Kalau sayalah, apa perkataan yang mengaibkan institusi diraja, kalau sayalah saya akan meminta ampun kepada Tuanku.

“Ia akan mendatangkan keaiban, kegusaran, dan ketidakharmonian, kalau sayalah saya akan sembah ampun kepada Tuanku.

“Jadi lebih bagus kita tidak mainkan isu 3R ini terutamanya hampir dengan pilihan raya negeri.

“Kalau yang bercakap itu macam saya sebagai ketua, saya mengapi-apikan orang, pengikut-pengikut saya ini akan lebih semangat untuk …dan mungkin akan berlaku tidak selamat di daerah-daerah mengundi nanti,” kata beliau.