Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Satu akta baru untuk menghukum pihak yang memainkan isu 3R sedang dikaji oleh kerajaan.

Menurut Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Datuk Seri Azalina Othman Said akta baru yang akan berfungsi seperti Akta Keharmonian Kaum di Singapura mungkin akan dinamakan Akta Negara dan Bangsa.

Beliau berkata buat masa ini, sebarang kesalahan melibatkan isu 3R disiasat di bawah Akta Hasutan 1848 sedangkan akta itu lebih menjurus kepada elemen kesalahan jenayah sehingga menyebabkan pendakwaan memakan masa yang lama berikutan prosedur undang-undang.

“Jadi, saya menyatakan mungkin kita perlu menilai dalam elemen positiviti… akta sedemikian yang dicadangkan berbentuk punitif.

“Maknanya kalau dia langgar, dia akan dikenakan denda. Itu lebih senang diselesaikan atau disabitkan. Kalau ikut jenayah, prosedur, pengukuran bukan mudah,” katanya kepada pemberita selepas menjadi panelis forum ‘Malaysia Di Ambang PRN 2023’ di Menara Dato’ Onn malam tadi.

Azalina berkata pandangan bagi mewujudkan akta baharu sudahpun dibentangkan kepada Jemaah Menteri hari ini dan mendapat respons yang positif.

Beliau berkata cabaran yang dihadapi ketika ini ialah apabila media sosial digunakan bagi mempermainkan isu 3R, ia mampu dinafikan dan tiada mempunyai bukti kukuh.

Katanya justeru, kewujudan akta baharu adalah penyelesaian kepada isu 3R yang semakin menjadi-jadi di Malaysia sejak kebelakangan ini seterusnya memastikan keperluan generasi akan datang lebih terjamin.

Azalina turut mengulas berkenaan isu tuntutan Sulu. Beliau menyatakan bahawa pihak telah mengambil kesempatan dari ketidakstabilan politik Malaysia sebelum ini untuk memfailkan kes terhadap Malaysia.

“Kes Sulu itu jika kerajaan stabil memang tidak boleh menang. Mereka ambil kesempatan. Mereka tidak bodoh.

“Mereka tahu jika Perdana Menteri bertukar, kadang-kadang peguam negara bertukar, mereka ambil kesempatan,” katanya.