Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

UMNO Pulau Pinang telah mengesahkan bahawa mereka akan bertanding enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya negeri, kata ketua Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir.

“Setakat ini, UMNO telah disahkan bertanding enam kerusi di Pulau Pinang. Kita akan pertahankan dua kerusi iaitu Permatang Berangan dan Sungai Dua di parlimen Tasek Gelugor dan bertanding di kerusi Penaga dan Bertam di parlimen Kepala Batas.

Kita juga akan bertanding di Sungai Acheh yang terletak di kawasan parlimen Nibong Tebal dan Teluk Bahang di Balik Pulau, satu-satunya kerusi yang ditandingi UMNO di pulau,” Musa dipetik berkata oleh Bernama.

Musa turut mengulas berkenaan calon yang akan diturunkan di dalam pilihan raya negeri yang dijadualkan pada Ogos 12.

“Tiga nama bagi setiap kerusi telah diserahkan kepada pimpinan, saya akan hantar dalam dua tiga hari…. Berkenaan calon, pada kali ini kita kemukakan muka baru dan muda terutamanya dari Pemuda UMNO.

“Kita turunkan calon muda kerana kita mahu membawa pembaharuan dan saya harap pengundi akan menyokong UMNO dan parti Kerajaan Perpaduan di Pulau Pinang dan fokus kawasan majoriti Melayu.

“Saya percaya UMNO boleh menang lima kerusi,” katanya.