Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Pakatan Harapan akan menggunakan slogan Kita Selangor sebagai tawaran kepada rakyat dalam kempen pilihan raya negeri (PRN) akan datang kata pengerusi PH Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Pengerusi PH Selangor itu slogan Kita Selangor membawa mesej penting dan tersendiri kepada rakyat negeri itu dan digunakan secara meluas dalam program serta inisiatif kerajaan sejak diperkenal semasa pandemik Covid-19 melanda negara.

Dia berkata slogan yang membawa aspirasi rakyat Selangor yang sentiasa bersatu padu dalam apa jua keadaan itu akan ditambah dengan perkataan atau ayat tertentu bagi disesuaikan dengan semangat dalam berpilihan raya.

“Untuk PRN ini, PH akan mengekalkan semangat atau tagline (slogan) Kita Selangor yang telah saya perkenalkan dan menjadi aspirasi kepada kerajaan dan rakyat negeri ini semasa berhadapan pandemik Covid-19 serta beberapa cabaran lain seperti kegawatan eknomi dan bencana banjir.

“Bagi PH, Kita Selangor itu sudah sarat dengan pengalaman, rekod perkhidmatan dan ia adalah realiti yang diterima secara nyata oleh rakyat ketika ini,” katanya dalam temu bual bersama Bernama.

Slogan Kita Selangor diperkenal sebagai inspirasi melawan Covid-19 dan kelembapan ekonomi pada 2021 mula digunakan secara rasmi dalam surat, urusan dan program rasmi kerajaan negeri bermula November tahun lepas.

Sejak itu, slogan tersebut terus digunakan dalam pelbagai program dan inisiatif kerajaan seperti sambutan kemerdekaan peringkat negeri, pakej bantuan serta rangsangan ekonomi, jelajah kemasyarakatan selain turut diletakkan di belakang jersi ketiga pasukan bola sepak Selangor sebagai simbolik meraikan penyokong yang sentiasa berada di belakang pasukan Gergasi Merah itu.

Antara contoh program dan inisiatif yang digagaskan daripada slogan Kita Selangor ialah Kita Selangor Teguh Bersama sempena sambutan kemerdekaan, Pakej Kita Selangor 2.0 yang berkaitan ekonomi dan Jelajah Kita Selangor, iaitu program pimpinan kerajaan negeri turun bertemu masyarakat.
ADS

Mengulas penggunaan slogan Selangor Baru oleh PN bagi menghadapi PRN, Amirudin yang mengetuai kerajaan Selangor sejak Jun 2018 berkata slogan tersebut tidak lebih daripada sekadar propaganda politik.

Sambil mempersoalkan mengenai nilai dan motivasi di sebalik Selangor Baru, dia juga hairan mengapa sehingga kini tiada perincian mengenainya diberikan kepada rakyat sejak slogan itu diperkenalkan.

“Kita tidak pasti apa motivasi di sebalik Selangor Baru yang cuba dibawa pembangkang kerana sampai sekarang ia hanya sekadar slogan yang tidak ada perincian dan sebab itu saya percaya slogan tersebut tidak lebih sekadar propaganda politik,” katanya.

Pada Mei lepas, PN Selangor memperkenalkan praslogan Selangor Baru sebagai tawaran daripada gabungan PAS-Bersatu-Gerakan kepada rakyat di negeri berkenaan bagi menghadapi PRN kali ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan dijalankan serentak dengan 12 Ogos sebagai hari pengundian, manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor mempunyai 56 kerusi dan sebelum ia dibubarkan pada 23 lalu, PH memiliki 40 kerusi (PKR-19, DAP-15, Amanah-enam), BN (lima), Bersatu (empat), Parti Bangsa Malaysia (dua) manakala PAS, Pejuang dan Warisan masing-masing satu kerusi serta seorang wakil rakyat bebas.

Satu lagi kerusi iaitu DUN Batang Kali, diisytiharkan kosong setelah wakil rakyatnya tidak hadir ke persidangan DUN melebihi enam bulan.