Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Setelah gagal beroperasi dengan baik, satu demi satu unit kedai di Komplek Bazar Abdul Rahman bin Auf, Rantau Panjang dilelong.

Notis lelongan awam itu menggemparkan penduduk sekitar kerana bazar ini terletak di tengah-tengah kawasan bebas cukai Rantau Panjang dan dimajukan oleh sebuah anak syarikat kerajaan negeri Kelantan.

Notis yang bertajuk “Perisytiharan Jualan” dan lelongan Awam itu ditampal di depan pintu masuk ke komplek pasar awam itu.

Ia berdasarkan perjanjian antara pihak-pihak terlibat bertarikh awal Februari 2004.

Berita lelongan ini telah menarik perhatian para penduduk setempat dan Kelantan apabila ia disebarkan menerusi Facebook Saya Anak Kelantan TM, sebuah laman perbincangan yang aktif.

Posting mengenai lelongan ini telah menarik banyak komen-komen dan dikongsi oleh pelbagai pihak lain.

Kebanyakan komen-komennya menyerang kecekapan pemimpin Kelantan dalam menguruskan negeri itu dan dikaitkan dengan ramainya anak-beranak pemimpin Kelantan memegang jawatan dalam anak syarikat kerajaan negeri.

Ini kerana, ramai pegawai kanan perbadanan dan anak syarikat kerajaan negeri adalah anak beranak kepada pemimpin Kelantan yang ada.

Adik Menteri Besar adalah ahli Lembaga Pengarah Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) yang gagal menguruskan air di negeri itu manakala Timbalan Pengurus Besar PKINK adalah anak saudara kepada Exco Kerajaan Kelantan.

Waniey Anis Ghazali menulis, “Tahu dah tak reti tadbir urus, duk undi lagi. Gitulah sokmo2 pun.”

Rakan beliau, Mohd Nizam membalas, “Buat macam Ganu (Terengganu) ni. X kena je tukar,” merujuk kepada kepimpinan yang sering bersilih ganti antara BN dan Pas di negeri jiran Kelantan iaitu Terengganu.

Kerajaan Pas yang ada di Kelantan telah bermula sejak 1990 iaitu kira-kira 33 tahun lalu selepas Pas yang bergabung dengan Semangat 46 mengalahkan BN.

Netizen yang menggunakan nama Kage Bunshin No Jutsu pula menulis “Kerajaan engeri mano reti nak urus tadbir negeri. Ado hati nak tadbir negara..hahaha,” yang dipercayai merujuk kepada kesungguhan Paa dan PN untuk menang di peringkat pusat dalam PRU lepas.

Azhan Abdullah pula menulis, “Takmalu ke puak Rantau Panjang…duk tengah2 kawsan bebas cukai tu..jom kita undi kerajaan perpaduan plak.”

Ed Ahmad pula berkata, “Lagu ni jah negeri hok Pas duk gege-gege suruh jadikan negeri contoh pentadbiran?”.