Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Bendahari DAP Selangor merangkap mantan ahli parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming menimbulkan beberapa persoalan berkaitan artikel bertajuk “Why Perikatan Nasional May Win in Selangor” oleh Marzuki Mohamad dan Khairul Syakirin Zulkifli dari Institut Masa Depan Malaysia (Institut MASA) terbitan ISEAS-Yusof Ishak Institute (ISEAS) minggu lalu.

“Marzuki Mohamad, seorang profesor madya di Universiti Islam Antarabangsa gagal menyatakan bahawa beliau merupakan bekas setiausaha peribadi utama kepada Perdana Menteri Malaysia kelapan – Tan Sri Mahiaddin Yassin di dalam artikel ini meskipun kaitan ini disebut di dalam artikel penulisan terdahulu yang diterbitkan pada 24 Mac 2023.

Ong mendakwa bahawa keterlibatan Marzuki dengan Mahiaddin tidak didedahkan untuk memberi gambaran bahawa kajian yang dilaksanakan dibuat secara tidak berat sebelah walaupun ia tidak begitu.

“Keterlibatan Marzuki dengan Mahiaddin adalah penting dan ia tidak didedahkan kerana artikel berkaitan peluang PN di dalam PRN Selangor akan memberi gambaran bahawa pengkaji tidak berat sebelah meskipun ia tidak sebegitu.

“Bukan sahaja Marzuki rapat dengan Mahiaddin, institut kajian yang menjalankan tinjauan – Institut Masa Depan Malaysia (MASA) juga mempunyai kaitan dengan Mahiaddin.

“Mahiaddin ialah pengerusi Institut MASA, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin ialah Ahli Parlimen Putrajaya dan naib presiden Bersatu dan ahli lembaga amanah MASA. Seorang lagi ahli lembaga amanah ialah Datuk Seri Haji Nardin Awang ialah bekas setiausaha politik Mahiaddin ketika beliau timbalan perdana menteri, menteri pendidikan dan menteri dalam negeri.

“Ini tidak bermakna institut kajian yang mempunyai kaitan politik seperti MASA tidak boleh menghasilkan kajian bebas tetapi berdasarkan kepentingan prinsip keterbukaan, perkaitan politik perlu dikatakan secara jelas oleh para penulis terutamanya dalam artikel yang akan memberi kesan kepada landskap politik Malaysia,” kata Ong.

Ong turut mempersoalkan tiga perkara berkaitan tinjauan kajian tersebut.

Tiga isu berkaitan tinjauan kajian

“Para penulis menyatakan mereka mengumpulkan 1200 sampel melangkaui kumpulan etnik di 39 kerusi DUN majoriti Melayu di Selangor untuk mengkaji dinamika tingkah laku pengundian dengan fokus terhadap pemindahan undi dalam kalangan pengundi Melayu.

“Bagaimanapun laporan tersebut hanya mengkaji 850 pengundi Melayu. Tiada alasan diberikan berkenaan kenapa dan bagaimana mereka dipilih. Adakah ia begitu kerana data baki 350 sampel tercemar?

“Adakah penulis mahu menyimpan data 350 sampel untuk membuktikan hipotesis mereka berkaitan perpindahan pengundi? Persoalan sebegini membangkitkan persoalan mengenai ketepatan hujahan yang dibuat di dalam artikel tersebut.”

Kedua, Ong mempersoalkan kegagalan Marzuki dan pasukannya yang tidak menjalankan analisa kuantitatif ke atas data tinjauan untuk mengkaji hujahan dan dan hipotesis di dalam artikel tersebut.

“Para penulis boleh mengkaji samada pengudi Melayu BN yang tidak pasti untuk mengundi siapa mempunyai penilaian tertentu terhadap (Perdana Menteri Datuk Seri) Anwar Ibrahim, Mahiaddin atau (Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi untuk menguji samada tinjauan ke atas pengundi yang tidak pasti mempunyai sebab yang lain. Analisa kualititatif sebegitu akan memberikan bukti yang lebih kukuh kepada hujahan yang dibuat oleh para penulis.

“Ketiga, kita perlu menyoal mengapa penulis tidak menjalankan simulasi keputusan pilihan raya yang dijangka di Selangor berdasarkan data perpindahan data yang telah dikumpulkan dari kalangan pengundi Melayu,” kata Ong.

Ong percaya simulasi tidak dibuat kerana penulis tidak mengendahkan kesan perpindahan undi pengundi bukan Melayu di Selangor.

“Perpindahan undi Melayu dari BN ke PH dan PH ke BN akan menjadi penting dalam menentukan pemenang di 39 kerusi majoriti Melayu di Selangor tetapi kita tidak boleh tidak endah terhadap pengaruh undi 30 peratus undi bukan Melayu di kerusi sebegini.”

Beliau turut menyatakan kadar perpindahan undi tinggi dari PH ke BN boleh menjadi kunci kemenangan calon BN dan kadar perpindahan undi yang rendah dari BN ke PH tidak cukup untuk memastikan PN memenangi kerusi majoriti Melayu kerana perbezaan undi yang dinikmati PH di Selangor.