Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa terharu dan bangga dengan jaminan pemimpin Kerajaan Perpaduan bahawa kerajaan ini akan kukuh dan teguh sehingga ke akhir penggal.

Pengerusi Majlis Sekretariat Kerajaan Perpaduan itu berkata, Kerajaan Perpaduan tidak melayan sebarang tindakan golongan terdesak yang menggugat kedudukan pentadbiran.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, semua parti akan memainkan peranan masing-masing untuk menjamin kestabilan supaya dapat memacu pertumbuhan ekonomi dan menjamin kesejahteraan rakyat.

“Ini maknanya komitmen itu bertambah. Kita perkukuh Kerajaan Perpaduan sekarang dan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Saya sangat terharu dan bangga dengan kenyataan daripada pimpinan yang menyatakan kesediaan mereka untuk terus memperkukuh dan mengelak desas-desus daripada golongan terdesak,” ujarnya.

Anwar berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan di Menara Dato Onn di ibu negara malam tadi.

Menurutnya, golongan terdesak terbabit menggunakan sentimen perkauman sempit atau agama yang melulu, jumud dan kemudian memberikan gambaran seolah-olah ada perubahan kerajaan.

“Apa yang disebut di sini mewakili majoriti besar Ahli Parlimen. Tetap dengan pengukuhan Kerajaan Perpaduan sehingga lima tahun selesai kerajaan,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri pemimpin-pemimpin parti komponen Kerajaan Perpaduan.