Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Dakwaan suapan RM232.5 juta terhadap Tan Sri Mahiaddin Md Yassin adalah lengkap dan wajar diteruskan, kata timbalan pendakwaraya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang semalam.

TPR Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berhujah, kesemua pertuduhan yang dibuat telah memenuhi Seksyen 152, 153, dan 154 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) yang menyatakan bentuk pertuduhan, butir-butir mengenai masa, tempat dan orang (yang dituduh).

Menurut Wan Shaharuddin, hak-hak Muhyiddin mengikut Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan tidak dilanggari kerana pada peringkat ini perbicaraan kes masih belum bermula, lapor Bernama.

“Kesemua dakwaan pemohon (Muhyiddin) adalah pramatang dan tindakan memulakan permohonan (untuk membatalkan pertuduhan) boleh diputuskan sebagai tindakan yang tidak berperlembagaan.

“Dalam apa jua keadaan, pada peringkat ini, hak pemohon di bawah Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan telah dijamin kerana segala prosedur-prosedur mengikut undang-undang sedia ada khususnya KTJ telah dipatuhi oleh pendakwaan selaku responden,” katanya ketika berhujah dalam prosiding permohonan Muhyiddin untuk membatalkan empat pertuduhan itu di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin.

Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Mahiaddin dalam hujah balasnya berkata keempat-empat pertuduhan itu tidak mengikut undang-undang dan terdapat kecacatan kerana responden gagal menghuraikan secara terperinci bagaimana anak guamnya didakwa melakukan kesalahan penyalahgunaan jawatan ini.

Hakim Muhammad Jamil menetapkan 15 Ogos ini untuk keputusan permohonan yang difailkan pada 18 April lepas itu.

Muhyiddin, sebagai Perdana Menteri (ketika itu) dan Presiden Bersatu, didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti tersebut.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Pengerusi Perikatan Nasional itu turut berdepan atas dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Bersatu.

Ahli Parlimen Pagoh itu juga didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac lepas atas satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama.