Para pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan dan Barisan Nasional bergabung dalam perhimpunan memulakan kempen pilihan raya enam buah negeri di Bangi malam tadi.
Sambil melaungkan kata-kata semangat, keceriaan jelas terbayang di wajah para pemimpin dan penyokong yang hadir.
“Selangor ini negeri yang ramai dengan orang yang cerdik pandai serta matang dalam politik…,negeri ini akan menentukan standard baharu politik di dalam negara ini.
“Jadi kita mahu setiap gerak kerja yang dibuat perlulah dengan semangat, keikhlasan selain niat yang betul untuk menyelamatkan rakyat, negeri, agama dan negara daripada mereka yang rakus kuasa,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi bintang utama ketika melancarkan Jentera Perpaduan MADANI Selangor semalam.
Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin menyeru pengundi agar tidak membiarkan Selangor jatuh ke tangan kumpulan pelampau agama dan kaum.
“Kita mahu Kabinet Kerajaan Perpaduan adalah Kabinet bagi rakyat Malaysia. Kami bekerja untuk rakyat Malaysia, untuk Melayu, Cina, India, dan rakan-rakan kita Iban, Kadazan, Dayak, Murut. kita semua bekerja untuk rakyat Malaysia. Melayu akan selamat. Islam akan selamat!,” ucapnya.
Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memulakan ucapannya dengan mengajak ahli dan jentera parti untuk melupakan sengketa lama antara parti itu dengan Pakatan Harapan (PH).
“Kombinasi antara BN dan PH, dulu kita lawan. Apa Datuk Seri Anwar tak kata (pada BN)? Apa saya tak kata (pada PH)? Itu cerita dahulu, kita tutup buku lama, kita buku buku baru,” ucapnya ketika Majlis Pelancaran Jentera Perpaduan Selangor malam tadi.
“Cuma saya minta dari seluruh jentera parti lupakan perbezaan kita selama ini. Kita lupakan titik-titik pebezaan dalam kalangan kita, yang penting ialah titik persamaan. Jika titik ini kita rangkumkan dengan sebaiknya, kemenangan untuk Selangor akan kita hadiahkan kepada PM Anwar,” tambahnya.