Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sudah menyelesaikan rundingan di kesemua kerusi Dewan Undangan negeri (DUN) di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli memberitahu perkembangan terbaharu itu semasa ceramah di Jelajah Madani DUN Kulim malam tadi.

“Alhamdulillah, saya boleh sebut bahawa rundingan kerusi (DUN) di peringkat Kerajaan Perpaduan di Kedah dan Pulau Pinang telah selesai.

“Kita tidak bertelagah seperti yang berlaku dalam Perikatan Nasional (PN),” katanya sambil mengucapkan tahniah kepada BN dan PH di kedua-dua negeri di utara tanah air itu.

Di Selangor, Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pembahagian kerusi di Selangor antara PH dan BN selesai dengan BN diperuntukkan lebih 20 peratus daripada 56 kerusi dipertandingkan.

Amirudin berkata pecahan agihan kerusi itu telah dipersetujui Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

PN MASIH BERTELAGAH

Dalam pada itu, Rafizi yang juga Menteri Ekonomi menegaskan PN sebaliknya masih bertelagah mengenai agihan kerusi walaupun DUN sudah dibubarkan.

“Mengapa sampai sekarang PN di Kulim ini tidak buat lagi (pelancaran jentera pilihan raya)?

“Sebab kita tahu mereka masih bertelagah dan bergaduh mengenai siapa dan di mana nak bertanding.

“Sampai sekarang kita tidak tahu, Kulim ini siapa (antara parti komponen PN) yang akan bertanding. Pas, Gerakan atau Bersatu?” bidasnya.

Selain Kulim, Rafizi juga berkata, rundingan dalam PN juga masih belum memuktamadkan calon bertanding bagi kerusi DUN Sidam dan Gurun.

“Saya di Sidam pun sama. Saya dimaklumkan di Sidam masih lagi bertelagah di antara Gerakan dengan Bersatu.

“Bersatu pun nak bertanding, Gerakan pun nak bertanding. Di Gurun pun macam itu,” tambah Rafizi lagi.

Sebelum ini, Kedah ketika di bawah pentadbiran Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyaksikan PN menguasai 20 kerusi manakala PH memiliki 10 kerusi (PKR 5, AMANAH 3 dan DAP 2) sementara BN dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) masing-masing dua kerusi.