Sorting by

×

Pengarah Komunikasi Umno, Datuk Lokman Adam menegaskan bahawa beliau mempertahankan kenyataannya terhadap akhbar Sinar Harian sebagai media yang bias kepada Perikatan Nasional (PN).

Atas dasar itulah, katanya, beliau menyertai wacana anjuran media berkenaan baru-baru ini bukan untuk melawan dua wakil dari PN tetapi melawan media berkenaan.

“Dari awal-awal lagi saya dah titik Sinar. Tetapi dengan bahasa yang lembut,” kata Lokman menjawab serangan bekas pengerusi Sinar Datuk Husamuddin Yakub yang menyerang beliau.

Husamuddin dalam kenyataannya berikutan wacana anjuran Sinar Harian tersebut meminta parti politik menghantar agen pemasaran yang bijak dengan menyifatkan Lokman sebagai bangang.

“Saya ingat Chegu Bard sahaja yang koyak, rupa-rupanya bos kepada Sinar Hairan ni pun koyak juga,” kata Lokman mengulas kenyataan Husamuddin.

Dalam satu video pendeknya, Lokman berkata, parti beliau iaitu Umno tidak menghantar beliau ke wacana yang panas anjuran media berkenaan sebagaimana yang didakwa Husamuddin.

“Parti tidak hantar saya. Saya diundang oleh wartawan Sinar Harian. Dia jemput kita hadir walaupun kita tahu kita datang ke kubu Perikatan Nasional.

“Minta maaflah Husamuddin Yakub, kawan baik Annuar Musa,” kata Lokman.

Menurut Lokman, Umno telah berhadapan dengan Sinar ini sejak zaman Datuk Seri Najib menjadi perdana menteri lagi.

“Zaman sekarangpun, dia nak nafi macamana dia memihak kepada Perikatan Nasional.

“Bagi saya, yang tak cerdiknya apabila dia tuduh saya jammed dan salahkan pentas. Padahal kalau dia teliti betul-betul, muqaddimah lagi saya dah titik Sinar.

“Sehinggalah Chegu Bard tuduh saya kononnya saya tidak beradab kononnya saya kata Sinar ini tidak ada intergriti.

“saya nak bagi tahu, saya jawab cara baik. Saya cakap kalau Sinar buat poll, dia akan memihak kepada orang yang buat media buy dengan dia atau orang yang mendana dia.

“Saya pun sebut, kalau PH buat servey atau poll, sudah pasti orang yang buat servey atau poll bagi pihak PH itu, dia akan kata sesuatu yang sedap untuk didengar oleh PH.

“Saya cakap dengan bahasa sopan santun,” kata Lokman memberikan penjelasan apa yang beliau kata tetapi diputar belit oleh Chegu Bard.

Menurut Lokman, jika beliau mahu bercakap dengan kasar dalam forum itu, dia akan dedahkan betapa menipunya Sinar ini.

Beliau memberikan contoh betapa penipunya Sinar melalui satu poll yang dibuat.

Soalan yang ditanya Sinar, “Anda merasakan orang muda akan pilih parti mana pada PRN nanti?

“Semasa wacana Sinar itu, mereka menyatakan 63% yang sokong PN.

“Namun mereka tidak sedar dalam poll yang mereka buat dengan soalan yang sama di Twitter, PH/BN mendapat 66.1% sokongan orang muda,” kata Lokman sambil menunjukkan kedua-dua poll yang dibuat oleh Sinar tetapi menyiarkan hanya yang PN menang sahaja di wacana itu.

Sehubungan itu, Lokman berkata, dari awal lagi wacana itu beliau telah menyerang Sinar.

“Lawan saya bukan Badrul Hisham Shahrin ni atau Tun Faisal. Lawan saya adalah Sinar Hairan ni kerana saya dah lama geram dengan Sinar ni.

“Saya datang kerana ingin melawan Sinar kerana Sinar ini cukup menyinar kerja-kerjanya memburuk-burukkan kerajaan,” kata Lokman.

Lokman berkata, antaranya media ini memanipulate tajuk-tajuk berita membuatkan orang benci dengan BN.

“Isu Musang King, bagaimana dia memainkan berita itu. Isu KWSP bagaimana mereka manipulate. Ini memang jahat. Saya cakap terus terang ini memang kerja jahat,” katanya.

Lokman berkata, daripada orang ramai melihat media ini betul-betul bebas, dengan apa yang berlaku pada hari tersebut, Sinar sudah secara tidak langsung mengakui, mereka adalah tidak bebas dan biased.