Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan Ops Kesan 2024, bermula semalam, bagi memantau kesan kenaikan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) daripada enam kepada lapan peratus.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata fokus pemantauan dan penguatkuasaan adalah untuk memastikan peniaga pada semua peringkat tidak mengambil kesempatan mencatut atau membuat kenaikan harga yang bertentangan dengan perundangan pencatutan.

Beliau berkata, operasi itu digerakkan bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

“Skop penguatkuasaan meliputi sektor-sektor yang terbabit dengan kenaikan cukai perkhidmatan, dan keseluruhan rantaian perkhidmatan yang berkaitan. Ini termasuk pemantauan terhadap sektor yang tidak terbabit dengan kenaikan cukai perkhidmatan seperti makanan dan minuman.

“Tindakan tegas akan diambil sekiranya kenaikan harga yang tidak munasabah dilakukan dan tidak sejajar dengan perundangan pencatutan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Armizan berkata, KPDN mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk memberi maklumat serta bukti berkaitan sebarang tindakan menaikkan harga secara tidak wajar yang dikenal pasti, dan siasatan serta-merta akan dilakukan di premis terbabit.

Orang awam boleh mengemukakan aduan melalui aplikasi WhatsApp ke nombor 019-848 8000 / 019-279 4317; portal e-Aduan KPDN melalui pautan http://eaduan.kpdn.gov.my; pusat panggilan: 1-800-886-800; atau menggunakan aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.

Bermula 1 Mac 2024, kadar baharu SST dinaikkan kepada lapan peratus berbanding enam peratus sebelum ini, sebagaimana diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada Oktober lalu.

Langkah itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meningkatkan daya tahan kewangan negara sambil mengurangkan defisit belanjawannya. – BERNAMA