Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dijangka mengadakan pertemuan dengan pemerintah Qatar bagi membincangkan gencatan senjata dalam perang Gaza.
Agensi berita Palestin, Wafa berkata, Abbas akan bertemu Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani hari ini tetapi tidak menyatakan sama ada beliau akan turut bertemu pemimpin Hamas, kumpulan yang lama bersengketa dengan Abbas dan kumpulannya, Fatah, yang berpangkalan di Tebing Barat.
Duta Palestin ke Qatar, Munir Ghannam, memberitahu Voice of Palestine Radio, semalam, Abbas dan Sheikh Tamim akan membincangkan usaha untuk mendapatkan gencatan senjata dengan Israel dan cara untuk meningkatkan bantuan kepada 2.3 juta penduduk wilayah terkepung itu.
“Qatar memainkan peranan penting dalam usaha antarabangsa dan pengantaraan untuk mencapai gencatan senjata. Oleh itu, penyelarasan dengan Qatar, juga dengan Mesir, adalah amat penting, untuk menamatkan pencerobohan ini terhadap rakyat kita,” kata Ghannam.
Qatar menjadi tempat tinggal ketua Hamas, Ismail Haniyeh, serta seorang lagi pemimpin kanan dalam kumpulan itu, Khaled Meshaal, yang mengendalikan hal ehwal diaspora penduduk Palestin di pejabat politik Hamas.
Hamas menguasai Gaza pada 2007, daripada Abbas yang berpangkalan di Ramallah, selepas perang saudara singkat dengan pasukan keselamatan yang setia kepada presiden Palestin.
Kuasa Abbas sebahagian besarnya dikurangkan kepada Tebing Barat yang diduduki Israel, yang lebih besar daripada Gaza tetapi yang juga ‘dikecilkan’ oleh penempatan peneroka Israel.
Percubaan lalu terutamanya diketuai oleh Mesir, untuk menyelesaikan pertikaian antara Hamas dan Fatah setakat ini gagal,, yang menurut penganalisis, melemahkan usaha Palestin untuk mendapatkan negara mereka sendiri di atas tanah yang kini diduduki oleh Israel.
Kebanyakan negara menganggap penempatan Yahudi yang dibina di atas tanah yang diduduki Israel dalam perang Asia Barat 1967, sebagai haram.-HM Online