Sorting by

×

Budaya kunjung-mengunjung bersempena dengan perayaan masyarakat pelbagai kaum menjadi bukti kepada keharmonian dan perpaduan di negara ini, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong, Datuk Seri Tiong King Sing.

King Sing yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya berkata keharmonian dan perpaduan yang dinikmati setelah sekian lama itu harus terus dipelihara demi pembangunan berterusan Malaysia.

“Negara kita sebuah negara yang rakyatnya berbilang kaum dan agama. Jauhi sikap perkauman agar dapat mencapai perpaduan yang teguh,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Sempena Tahun Baharu Cina anjuran Parti 

Demokratik Progresif (PDP) di pusat komersial Pulau Li Hua di sini hari ini.

Lebih 10,000 masyarakat berbilang kaum hadir ke majlis itu termasuk Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang juga Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau Kiong Yieng.

Kiong Yieng turut mengadakan rumah terbuka di Pusat Khidmat DAP Lanang di Jalan Lanang di sini yang turut dihadiri masyarakat berbilang kaum dan agama.

Sementara itu, orang ramai juga tidak melepaskan peluang mengunjungi rumah terbuka Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) cawangan Dudong Wong Ching Yong di pusat khidmatnya di Jalan Aman. – Bernama