Sorting by

×

Malaysia mengutuk serangan secara besar-besaran Israel di bandar Rafah, dekat selatan Gaza dan menuntut rejim Zionis itu menghentikan tindakan tidak berperikemanusiaan itu dengan segera.

Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini, berkata tindakan serangan di bandar yang menjadi lokasi orang awam mendapatkan perlindungan itu akan meningkatkan lagi ketegangan dan merencatkan segala usaha bagi merealisasikan gencatan senjata yang berkekalan.

“Malaysia menuntut Israel menghentikan serangan itu dan mematuhi segala peruntukan undang-undang antarabangsa.

“Operasi ketenteraan yang berniat jahat ini jelas memperlihatkan matlamat ulung rejim Zionis untuk menghapuskan rakyat Palestin dari tanah air mereka sendiri.

“Serangan itu turut menunjukkan sikap angkuh rejim Zionis yang membelakangkan prinsip undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” katanya.

Wisma Putra berkata, ia turut menghina keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) pada 26 Januari 2024 mengenai enam tindakan sementara yang mesti diambil oleh Israel termasuk mencegah pembunuhan beramai-ramai penduduk Gaza.

“Masyarakat antarabangsa tidak boleh membenarkan tindakan sedemikian berlaku secara terang-terangan tanpa sebarang tindakan,” katanya.

Katanya, Malaysia menyokong seruan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan mendesak Majlis Keselamatan PBB untuk mengambil tindakan berani menghalang malapetaka oleh rejim Zionis serta menekan masyarakat antarabangsa melaksanakan tanggungjawab dan menghentikan sebarang sokongan kepada rejim yang secara terbuka mengabaikan segala usaha untuk meredakan ketegangan.

Wisma Putra berkata, Malaysia kekal dengan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan Palestin dalam mendapatkan kembali hak mereka, penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitul Maqdis Timur sebagai ibu negara Palestin dan diterima sebagai anggota penuh PBB.

Untuk rekod, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengarahkan tenteranya melancarkan serangan darat ke atas Rafah, pusat penduduk utama terakhir Gaza yang masih belum dimasuki tentera selepas serangan Hamas pada 7 Oktober yang mencetuskan perang.

Ketika ini, kira-kira 1.4 juta rakyat Palestin berlindung di Rafah dengan ramai yang tinggal di dalam khemah manakala makanan, air dan ubat-ubatan semakin berkurangan.-BH Online