SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan mendapatkan maklumat daripada Pegawai Penasihat Undang-Undang Negeri berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang memihak kepada penduduk Taman Sri Muda dalam saman berkaitan banjir besar 2021.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata perkara itu perlu diteliti terlebih dulu kerana keputusan terbabit baru diputuskan mahkamah dan masih terdapat ruang untuk proses rayuan dilakukan bagi mengemukakan justifikasi berkaitan.
“(Kita akan teliti) sama ada proses rayuan harus dilakukan ataupun tidak kerana ia baru keputusan di Mahkamah Tinggi dan masih ada ruang untuk rayuan dilakukan untuk memberikan justifikasi,” katanya selepas Pelancaran Strategik Jalan dan Lebuhraya Selangor 2026-2035 (JALUR Selangor) di sini, hari ini.
Semalam media melaporkan 50 penduduk Taman Sri Muda yang menanggung kerugian akibat banjir menang saman terhadap Kerajaan Persekutuan dan beberapa pihak berkuasa lain berhubung bencana itu yang melanda kawasan terbabit pada Disember 2021.
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Shoba Rajah Dorai Rajah, mendapati semua defendan bertanggungjawab sepenuhnya atas kecuaian dan kegagalan yang menyumbang kepada kerugian dialami penduduk.
Penduduk yang menyaman kerajaan dan tujuh pihak lain mendakwa kegagalan dalam pengurusan banjir, sistem perparitan, amaran cuaca serta tindak balas bencana menyumbang kepada kerugian mereka.
Mereka menuntut ganti rugi khas berjumlah RM3,767,148.51 juta selain ganti rugi am dan ganti rugi teruk.
Mengulas mengenai JALUR Selangor, Amirudin berkata ia dirangka secara holistik untuk menjadi kompas fizikal yang menjajarkan dasar utama Rancangan Selangor Kedua (RS-2).
“Kerajaan negeri kini beralih kepada prinsip ‘No District Will Be Left Behind’ dan bagi merealisasikan misi ini, JALUR Selangor bertindak sebagai pemboleh daya fizikal (physical enabler) dan tulang belakang mobiliti.
“RS-2 menyasarkan untuk merapatkan jurang sosioekonomi antara daerah bandar dan luar bandar melalui projek zon pembangunan khusus. JALUR Selangor menyokong usaha ini menerusi perancangan rangkaian jalan mengikut zon iaitu Zon SABDA (Sabak Bernam); Zon IDRISS dan Pelabuhan (Kuala Langat dan Klang) dan Zon Aeropolis (KLIA dan Subang),” katanya. -BH Online
