PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya beberapa aspek berkaitan gaji minimum diteliti dengan lebih menyeluruh sebelum sebarang pengumuman dibuat.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, termasuk aspek tempoh pelaksanaan, kumpulan pekerja dan sektor yang terbabit.
“Perdana Menteri minta supaya ada beberapa aspek dikaji dengan lebih teliti dan sekiranya ada apa-apa pengumuman, sudah pasti tarikh yang mungkin akan ada apa-apa pengumuman adalah sewaktu pembentangan Belanjawan (2027) pada 9 Oktober nanti.
“Pada mesyuarat hari ini, Perdana Menteri minta supaya diteliti beberapa aspek. Kita tidak mahu dalam pelaksanaannya nanti, sama ada dari segi jangka masa, dari segi kumpulan ataupun sektor, kita akan teliti secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri di sini, hari ini.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan sebelum ini membayangkan kemungkinan berita baik berkaitan kenaikan gaji dalam Belanjawan 2027 yang bakal dibentangkan Perdana Menteri, namun tidak memperincikan perkara berkenaan.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, Jemaah Menteri turut mengambil kira pandangan pelbagai pihak, termasuk Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (FMM) yang sebelum ini mengeluarkan kenyataan berhubung isu gaji minimum.
Katanya, tiada keputusan menyeluruh dibuat pada mesyuarat hari ini, sebaliknya beberapa perkara perlu diteliti terlebih dahulu sebelum sebarang pengumuman dibuat.
“Paling awal pengumuman akan dibuat adalah sewaktu pembentangan Belanjawan (2027),” katanya.-BH Online
