Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Tanah seluas 150,000 hektar di seluruh negara disasar untuk melaksanakan program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) ala Sekinchan menjelang 2030 kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu.

Ia meliputi 25 peratus daripada jumlah keseluruhan keluasan padi 600,000 hektar di seluruh negara.

Setakat ini, 11,000 hektar kawasan tanaman padi telah menggunakan kaedah SMART SBB ala Sekinchan membabitkan beberapa negeri termasuk Perlis, Kelantan, Kedah, Selangor dan Terengganu.
 
Menerusi program SMART SBB ala Sekinchan, hasil padi mampu ditingkatkan sebanyak 70 peratus berbanding kaedah biasa.

“Sabah dan Sarawak pun kita akan pergi bincang. Sebenarnya hasil padi terutama di Sarawak agak tinggi saya yakin kita akan dapat peningkatan hasil.

“Pada masa akan datang Sabah dan Sarawak cukup untuk beras bagi wilayah di sebelah sana,” katanya selepas Majlis Perasmian SMART SBB ala Sekinchan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Bendang Tok Ajam, di sini.

Program SMART SBB ala Sekinchan adalah model baharu diperkenalkan Mei tahun lalu dengan mengaplikasi amalan terbaik penanaman padi di Sekinchan untuk direplikasi ke kawasan lain.

Mohamad berkata, sekiranya kesemua kawasan padi menggunakan kaedah SMART SBB ala Sekinchan, bekalan beras negara diyakini mencukupi tanpa perlu mengimport dari negara lain.-Berita RTM