Kerajaan akan memberi fokus dalam menyelesaikan isu infrastruktur asas di Labuan dalam usaha memaju dan memakmurkan lagi pulau bebas cukai itu.
Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa, berkata lawatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam di Labuan hari ini, jelas menunjukkan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam merangka usaha berkenaan.
“Justeru, dengan pemantauan Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta usaha sama antara Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan beberapa agensi Kerajaan Sabah yang berkaitan, diharapkan pelaksanaan projek menaik taraf paip dan cadangan pembinaan loji jana kuasa baharu dapat dilaksanakan dengan baik.
“Pembangunan dan penambahbaikan infrastruktur asas di seluruh Wilayah Persekutuan Labuan semestinya akan merangsang aktiviti ekonomi tempatan serta menarik pelaburan luar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Fadillah dilapor berkata, pendekatan dan kaedah berbeza perlu diguna pakai dalam merealisasikan cadangan pembinaan jambatan yang menghubungkan Labuan dengan tanah besar Sabah yang dinantikan sekian lama.
Beliau berkata, terdapat keperluan untuk kajian menyeluruh bagi menilai daya maju jambatan berkenaan dan potensi kesannya terhadap ekonomi Labuan.-BH Online