Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Bersempena dengan pelancaran kempen KASIH; KPWKM Gempur Saringan HPV DNA 2024 peringkat Labuan hari ini, seramai 500 wanita dari wilayah persekutuan itu akan mendapat manfaat saringan kanser serviks melalui ujian HPV DNA secara percuma.
 
Ia susulan pengumuman Perdana Menteri mengenai Program MADANI Rakyat Labuan bagi memastikan penduduk Labuan turut menerima manfaat daripada semua perkhidmatan yang disediakan oleh pihak Kerajaan termasuk daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
 
Seramai 57,000 wanita disasarkan mendapat manfaat pada tahun 2024, melalui kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe) yang dianjur Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).  Ia  merangkumi Program Saringan Kanser Serviks dan Subsidi Ujian Mamogram.
 
Justeru, KPWKM bersama-sama LPPKN seluruh negara telah mengatur pelbagai aktiviti bagi mengimarahkan kempen itu. Antaranya termasuklah saringan ujian HPV DNA percuma kepada wanita layak di semua Klinik Nur Sejahtera LPPKN.
 
“Pergilah melawat ke klinik supaya boleh menjalani saringan ini, sama ada kanser serviks HPV DNA dan mamogram.

“Selain itu kita memang sentiasa membuat program pap smear, jadi ini semuanya sedang berjalan dan tertumpu kepada golongan wanita,”kata Datuk Seri Nancy Shukri.
 
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Program Kembara KASIH; KPWKM Gempur Saringan HPV DNA 2024 peringkat wilayah persekutuan Labuan bertempat di Desa Tunas Hijau Labuan.

Hadir sama, Timbalan Menteri KPWKM Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
 
Tambah Datuk Seri Nancy, kesedaran menjalani saringan HPV DNA di Labuan masih rendah iaitu hanya tiga peratus berbanding 21,600 wanita berusia 30 hingga 65 tahun pada tahun lalu.

Program Saringan Kanser Serviks melalui Ujian HPV DNA adalah saringan bagi pengesanan awal kanser serviks yang dilaksana oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bermula tahun 2019.

Ujian HPVDNA merupakan kaedah baharu bagi pengesanan awal kanser serviks yang lebih berteknologi tinggi. Wanita akan dibekalkan dengan kit ujian dan mereka boleh mengambil sampel menggunakan kaedah pensampelan sendiri atau dengan bantuan Jururawat di klinik. Saringan ujian HPV DNA ini diberikan secara percuma kepada wanita yang layak, khususnya B40 dan M40.-Berita RTM