Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan bersikap terbuka mengakui kelemahan yang ada dan bersedia menilai beberapa pendekatan untuk memberi perkhidmatan lebih baik serta bermutu kepada rakyat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tambah beliau, sikap tersebut juga akan memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan dan hebat, seiring konsep Malaysia MADANI.

“Hari ini (semalam) adalah hari terakhir di mana semua anggota Jemaah Menteri dan pegawai tertinggi kerajaan telah berkumpul dan menekuni pelbagai isu yang wujud dalam aspek penyampaian perkhidmatan.

“Tujuan pemukiman ini adalah antara lain bagi menyemak semula pelbagai ‘hindrance’ yang melambatkan urusan kerajaan selain turut mendengar pandangan dan kritikan dari pelbagai pihak termasuk pihak swasta, ilmuwan, penyelidik serta pakar pakar dari dalam dan luar negara,” kata Anwar menerusi Facebooknya.

Jelas Anwar, bidang teknologi Kecerdasan Buatan (AI), peralihan tenaga dan ekonomi digital antara yang dibincangkan pada program Pemukiman Anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan 2024 di Cyberjaya.

“(Selain itu) beberapa sektor pelaburan berdampak (impak) tinggi diberi perhatian khusus, seperti dicerakinkan dalam Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat yang diluncurkan (lancar) tahun lalu.

“Tantangan (cabaran) daripada sudut ekonomi serta bagaimana untuk memampannya (mengatasinya) turut dibincangkan secara terperinci agar aspek pelaksanaan kebijakan (dasar) kerajaan tidak terganggu dan matlamat mensejahterakan rakyat dan negara dapat digapai (capai) sebaiknya,” tambahnya lagi.

Anwar bersama 31 barisan ahli Kabinet menghadiri program Pemukiman Anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan 2024 yang berlangsung di Cyberview Resort & Spa selama dua hari sehingga semalam.

Program tersebut turut dihadiri oleh 15 jemputan khas.-Berita RTM