Pengurusan sisa buangan plastik antara elemen penting yang perlu ditangani bagi mencegah atau mengurangkan risiko banjir.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad mengulas peranan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam membantu menguruskan sisa-sisa sampah pasca banjir di negeri-negeri terlibat.
Beliau berkata pihaknya bersama-sama kementerian dan agensi berkaitan sentiasa mengadakan perbincangan mengenai peranan serta tugas masing-masing mengikut fungsi dan keperluan sebelum, semasa dan selepas bencana banjir berlaku.
“Bila tahun lepas, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di bawah NRES, kita turun dan kita lihat banyak kolam takungan banjir. Kita tengok banjir-banjir kilat yang berlaku. Sebenarnya plastik ini antara penyumbang besar kepada masalah kepada saliran dalam negara kita.
Tetapi kita akan tengok bagaimana daripada segi kesan daripada banjir kepada kawasan-kawasan yang terjejas itu. Kita akan bincang dengan pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan sebagainya tentang keperluan itu. Biasanya memang banyak agensi akan mainkan peranan untuk bantulah. Kita akan lihat apa yang kita boleh main peranan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan program Hari Gaya Hidup Hijau di sini.
Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata empat inisiatif akan dilancar serentak bersempena program Hari Gaya Hidup Hijau peringkat NRES.
Inisiatif yang dilaksanakan itu berupa mesin pengumpulan botol plastik melalui Reverse Vending Machine (RVM) NRES, TRASH4PROTECTION, platform pengumpulan sisa elektronik (e-waste) dan kempen beg boleh guna semula.
Nik Nazmi optimis pihaknya bersedia bekerjasama dengan kementerian-kementerian dan organisasi lain untuk melaksanakan inisiatif serupa di lokasi masing-masing.
Menurutnya, kerjasama itu dapat memangkin usaha penjagaan alam sekitar dalam skala yang lebih besar, sekali gus mendidik masyarakat secara berterusan tentang kepentingan untuk bersama-sama memelihara dan memulihara alam sekitar.
“Bila kita bercakap tentang perubahan iklim, peralihan tenaga, maka kita lihat penggunaan contohnya panel solar, penggunaan bateri untuk kereta dan sebagainya akan terus meningkat, selain daripada peranti-peranti seperti telefon bimbit yang sememangnya meningkat.
Kenderaan Elektrik (EV) misalnya itu satu perkara yang kita perlu lalui. Panel solar juga perkara yang positif untuk peralihan tenaga tetapi kita perlu uruskan sisa tersebut dengan baik supaya tidak ada nanti kesan yang lain pula kepada alam sekitar,” kata Nik Nazmi.-Berita RTM