Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Melalui misi pelaburannya ke Singapura, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) meraih komitmen pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM 2.80 bilion daripada dua syarikat.

Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, dua syarikat iaitu Equinix dan sebuah syarikat global pembuatan makanan memberi komitmen bagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi, sama ada untuk mewujudkan atau memperluaskan perniagaan masing-masing.

“Pelaburan langsung asing yang komited sebanyak RM 2.8 bilion ini merupakan satu lagi pengiktirafan terhadap usaha Malaysia dalam memudahkan perjalanan para pelabur serta pelaksanaan pelaburan mereka.

“Ini adalah permulaan yang sangat baik untuk tahun ini dan MITI bersama agensinya, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan menjadi lebih strategik dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi dari aliran yang meningkat ke ASEAN.

Tambah beliau, Singapura melihat Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang berpotensi disebabkan pelbagai faktor, termasuk undang-undang Malaysia, lokasi serantau yang strategik dan tenaga kerja yang boleh dilatih serta kedudukan penting dalam banyak rantaian bekalan serantau dan global.

“Pelaburan ini bukan sahaja memperkukuhkan ekonomi kita, malah ia juga harus membangunkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) kita dan mewujudkan peluang pekerjaan baharu untuk rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, misi pelaburan yang dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan MITI dan MIDA merupakan satu penanda aras penting ke arah merealisasikan matlamat Malaysia untuk menjadi hab inovasi global yang berteknologi tinggi dengan ekosistem pelaburan berdaya tahan dan mampan.

Tengku Zafrul berkata, antara Januari dan September 2023, projek pelaburan dari Singapura bernilai RM20.4 bilion telah diluluskan, menjadikannya sumber FDI kedua terbesar bagi tempoh tersebut. – MalaysiaGazette