Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Orang ramai diminta tidak membuat sebarang andaian atau apa-apa kesimpulan berhubung kebakaran tiga kereta milik Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham selepas diserang dengan molotov cocktail awal pagi tadi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sebarang andaian dan persepsi akan mengganggu siasatan.

Katanya, orang ramai dinasihatkan bertenang dan memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti suspek serta punca kejadian.

Menurutnya, siasatan dijalankan pasukan forensik polis dan bomba juga menemui ‘molotov koktail’ dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api.

Katanya, insiden ini juga telah mendapat perhatian mesyuarat Jemaah Menteri hari ini dan secara konsensusnya mengambil pendirian mengutuk kejadian itu.

“Orang ramai diingatkan supaya tidak melakukan tindakan melulu tanpa mempertimbangkan lunas-lunas undang- undang kerana ia adalah satu kesalahan serius yang boleh membawa kepada hukuman berat,” katanya pada sidang media khas di kementeriannya di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali.

Awal pagi tadi kediaman Ahli Parlimen DAP Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham di Lorong Semarak Jaya, Ayer Tawar, Manjung diserang menggunakan bahan letupan, ‘molotov cocktail’.

Kejadian itu menyebabkan kebakaran yang turut memusnahkan tiga kenderaan miliknya.

Saifuddin berkata, polis sudah memulakan siasatan dan pada masa sama mengulangi agar tiada pihak yang mengambil tindakan melampaui undang-undang.

Katanya, masyarakat boleh meletakkan keyakinan tinggi terhadap keupayaan profesional pihak polis dalam menangani kejadian ini.

Sementara itu, Mohd Shuhaily berkata, ketika ini pihak bomba sudah berada di tempat kejadian bagi menentukan elemen yang terdapat dalam ‘molotov koktail’ itu.

Katanya, polis juga sudah mengambil bahan bukti ‘molotov koktail’ itu untuk dianalisis oleh bahagian forensik.

“Sama ada perbuatan ini dilakukan oleh golongan profesional atau biasa hanya dapat ditentukan menerusi bahan digunakan pada ‘molotov koktail’ itu,” katanya.-BH Online