Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang diperkenalkan hari ini bakal mengurangkan ketirisan dan kebocoran dalam menyalurkan subsidi kepada kumpulan sasar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sistem tersebut selaras dengan pendekatan transformasi digital serta satu lonjakan baharu untuk memacu pertumbuhan negara.

Jelasnya lagi, pendekatan sistem PADU penting dalam menjamin saluran subsidi kepada golongan yang berhak menerimanya secara berkesan.

“(PADU) menjamin manfaat dan kemudahan (subsidi) dinikmati oleh golongan yang berhak menerima dan tentunya ia mengurangkan kos serta mengurangkan ketirisan.

“(Jadi) apabila sebut penyasaran subsidi, ia tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan tanpa pendekatan PADU dan transformasi digital,” katanya ketika berucap menyempurnakan sistem PADU di sini.

Sementara itu, Anwar juga mahu pelaksanaan PADU tidak meminggirkan mana-mana golongan, mahupun golongan miskin atau luar bandar.

“Bila kita bicara soal transformasi digital, sering kali tertinggal golongan miskin bandar, di pedalaman, di desa (dengan) kesenjangan (jurang) itu dilihat semakin melebar, (sedangkan) tujuan kita mengurangkan kesenjangan.

“(Bagaimanapun), kaedah diperkenalkan melalui PADU ini secara tidak langsung ‘memaksa’ setiap warganegara untuk faham tentang transformasi digital dan menggunakan sistem PADU (serta) dengan secara sendirinya ada pencerahan, kecelikan budaya dan kecelikan digital,” tambahnya.

Perdana Menteri turut menzahirkan rasa bangga dengan kesungguhan serta keupayaan jentera kerajaan yang mampu mengolah perkara baharu dengan usaha mereka sendiri tanpa bergantung kepada konsultan antarabangsa, sekaligus membantu penjimatan kos yang lebih tinggi.-Berita RTM