Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Dakwaan kononnya Islam terancam dimainkan pihak tertentu memikat pemikiran rakyat, khususnya orang Melayu sehingga mengakibatkan calon Parti Amanah Negara (AMANAH) dan UMNO ditolak pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) serta Pilihan Raya Negeri (PRN).

Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata sentimen itu turut diterima pengundi di kawasan dihuni bijak pandai.

“Isu Islam terancam ini memang memikat pemikiran rakyat sehingga kita melihat tokoh daripada AMANAH, tokoh daripada UMNO kalah. Seorang menteri yang kerja kuat pun kalah dengan sepupu.

“Mahfuz Omar cukup hebat pun kalah dengan majoriti 31,000 undi. Puteri reformasi, Nurul Izzah Anwar kalah di (Parlimen) Permatang Pauh, tempat lahirnya reformasi. Ini akibat slogan yang dimainkan Islam terancam.

“Persepsi diterima oleh orang Melayu, termasuk di kawasan ‘intellectual’. Ini yang kita hadapi dan kita (AMANAH) kena rungkai di mana (dakwaan) terancamnya Melayu Islam,” katanya pada ucapan penggulungan Konvensyen Nasional AMANAH 2023 di sini, hari ini.

Dalam ucapan sama, beliau berkata, AMANAH berikrar mempertahan golongan bukan Islam sekiranya berlaku penindasan kepada kumpulan itu, selaras pendekatan ‘rahmatan lil alamin’ dibawa parti.

“Kita mahu ramai lagi orang bukan Islam bersama dalam perjuangan kita kerana Islam rahamtan lil alamin, bukannya hanya Melayu, bukannya India dan bukannya Cina saja, tetapi rahmat untuk semua ini yang perlu kita kumandangkan.

“Dalam kita berlawan dengan PAS, kita jangan ambil cara PAS. Kita kena ambil cara kita iaitu mengetengahkan rahmat untuk semua. Sekarang ini penindasan berlaku kepada rakyat Palestin. Satu hari katalah berlaku penindasan kepada orang bukan Islam, AMANAH kena bela golongan bukan Islam itu,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas isu pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT), Mohamad berkata, perkara itu perlu dibincangkan dengan cermat dan semua pihak perlu memastikan keputusan menang-menang dapat dicapai.

“Kita kena bincang lebih lanjut supaya kalau sudah sampai ke peringkat cadangan, kita mesti ada situasi ‘win-win’ (menang-menang).

“Ertinya semua kaum rasa selamat dan semua puas hati, tetapi pilihan raya ini pada masa akan datang kena difikirkan. Kalau PBT ini dipilih oleh rakyat, dia kena bekerja betul-betul untuk kepentingan rakyat bukan ketua parti,” katanya.-BH Online