Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah meluluskan untuk melanjutkan Dasar Rangsangan Sektor Hartanah dan Dasar Pemilikan Kediaman atau dikenali sebagai Home Ownership Campaign (HOC) 3.0 bermula 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2024 dalam usaha membantu mempromosi pemilikan Rumah Mampu Milik (RMM) kepada masyarakat.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata ia juga antara lain bertujuan untuk memenuhi sasaran kerajaan negeri bagi membekalkan 220,000 RMM kepada rakyat Pulau Pinang menjelang 2030.

“HOC itu telah dilaksanakan sejak dua tahun lepas dan mendapat sambutan yang baik jadi kerajaan negeri dalam usaha menyokong sasaran Visi Penang2030 iaitu untuk bekalkan 220,000 rumah mampu milik, kami telah bersetuju melanjutkannya pada tahun depan.

“Menerusi kempen itu, kerajaan negeri akan menawarkan diskaun 10 peratus untuk RMM berharga RM300,000 di bahagian pulau kepada RM270,000 seunit dan RM250,000 di kawasan Seberang Owrsi kepada RM225,000 dengan keluasan minimum 850 kaki persegi,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau ditemui selepas merasmikan Ekspo Rumah Mampu Milik dan Hartanah Pulau Pinang 2023, di sini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar Datuk Seri S. Sundarajoo.

Chow berkata HOC yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri bagi memberi lonjakan kepada industri hartanah di Pulau Pinang dilihat memberi kesan dan membuahkan hasil malah melalui dasar itu juga rakyat Pulau Pinang telah mendapat manfaat serta berjaya memiliki rumah kediaman sendiri.

Katanya komitmen kerajaan negeri adalah untuk memastikan penyediaan kediaman mencukupi, berkualiti dan mampu dimiliki haruslah di data oleh semua pihak penyedia perumahan termasuklah pihak swasta.

“Malah satu lagi kejayaan yang dicapai oleh kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang ialah kelulusan Garis Panduan RMM untuk menggariskan dasar dan piawaian bagi menyeragamkan aspek pembangunan RMM agar lebih berdaya huni serta harmoni,” katanya.

Beliau berkata menerusi garis panduan itu, diharapkan semua pihak sama ada agensi kerajaan atau swasta menjadikan garis panduan tersebut sebagai rujukan dan dapat menangani isu serta cabaran yang dihadapi dalam industri perumahan di Pulau Pinang. – BERNAMA