Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Para agamawan di negara ini perlu bersikap cermat, memelihara adab dan tawaduk dalam menyampaikan dakwah dan menyebarkan risalah agama agar tidak terjebak dengan penyakit takabbur dengan ilmu yang dimiliki.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata sebarang ucapan dan ceramah yang berbaur sentimen perpecahan serta kebencian sesama sendiri perlu dihentikan.

“Saya turut melahirkan rasa kesal dengan kegopohan seorang pendakwah yang telah mengeluarkan bahasa kasar hingga membuat tohmahan bahawa pemimpin negara sebagai sesat dan jahil ketika membincangkan iktibar daripada kisah Ashabul Kahfi di dalam Al-Quran kepada para penjawat awam baru-baru ini menerusi satu kenyataan media.

“Pemimpin negara tersebut tidak menyatakan para pemuda Ashabul Kahfi itu sebagai golongan tidak beriman sebaliknya mempertegaskan keimanan Ashabul Kahfi dan mengajak penjawat awam serta rakyat mengambil iktibar daripada kisah tersebut agar menjadi warganegara yang berprinsip, selaras dengan dasar kebenaran dan keadilan dalam kehidupan berpandukan keteguhan keyakinan pemuda Al-Kahfi itu.

“Ia juga selari dengan penjelasan yang dibuat Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam isu pemuda Al-Kahfi pada April 2016 dan Disember 2023,” katanya menerusi kenyataan.

Tambahnya, umat Islam juga diseru sentiasa merujuk isu-isu dan permasalahan keagamaan kepada pihak berkuasa agama yang berautoriti.