DAP Selangor akan mempertahankan kesemua 16 kerusi DUN yang dimenangi parti itu semasa PRU14, pada PRN bulan hadapan.
Setiausaha DAP Selangor Ng Sze Han berkata agihan kerusi berkenaan merupakan bilangan yang telah dipersetujui antara PH dan BN.
“Kita yakin DAP mampu untuk mengekalkan rentak terbaik dengan memenangi kesemua kerusi yang disandang pada PRU14 sebelum ini,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama baru-baru ini.
Pada PRU14, DAP memenangi 16 kerusi DUN iaitu di Sekinchan, Kuala Kubu Baru, Teratai, Dusun Tua, Balakong, Seri Kembangan, Kinrara, Subang Jaya, Bukit Gasing, Kampung Tunku, Bandar Utama, Bandar Baru Klang, Pandamaran, Kota Kemuning, Banting dan Sungai Pelek.
Bagaimanapun, kerusi DAP berkurangan apabila AdunTeratai Bryan Lai Wai Chong, mengumumkan keluar parti untuk bergerak sebagai wakil rakyat bebas pada 2021 sebelum menyertai Warisan, tahun lepas.
Dalam pada itu, Ng yang sebelum pembubaran ialah pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru negeri, menyatakan kesediaannya untuk mempertahankan kerusi DUN Kinrara yang diwakilinya selama dua penggal.
“Kalau diberi peluang (bertanding) di Kinrara, ya. Tetapi saya serahkan kepada keputusan akhir parti. Saya sentiasa tegaskan bahawa kesemua 16 kerusi ini bukan milik individu, tapi milik DAP dan PH,” katanya.
Kedudukan semasa kerusi sebelum DUN dibubarkan pada 23 Jun ialah PH mempunyai 40 kerusi merangkumi PKR (19), DAP (15), Amanah (enam), BN (lima), Bersatu (empat), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (dua) manakala PAS, Pejuang dan Warisan, masing-masing satu kerusi serta seorang wakil rakyat Bebas.
Kerusi Batang Kali pula diisytiharkan kosong pada Februari lepas, setelah wakil rakyatnya tidak hadir ke persidangan DUN melebihi enam bulan.
Pengerusi PH Selangor Amirudin Shari sebelum ini memaklumkan pembahagian kerusi di antara PH dan BN selesai dengan lebih 20 peratus daripada 56 kerusi DUN akan diwakili BN, manakala selebihnya akan ditandingi calon PH yang terdiri daripada parti PKR, DAP dan Amanah.
Pada 13 Julai lalu, Pengerusi Amanah Selangor Izham Hashim mengesahkan parti akan bertanding di sembilan kerusi DUN pada PRN nanti.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan diadakan serentak dengan 12 Ogos sebagai hari pengundian, manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.