Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pemimpin sedemikian terutamanya Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor perlu bersedia berdepan kesan dan akibat daripada kelancangan ucapan beliau yang terus menyentuh isu 3R.

“Menteri Besar Kedah telah terlajak jauh dalam erti kata lain bukan sahaja berlaku kelantangan malah berupa nada penghinaan terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam ucapannya baru-baru ini dan perkataan berunsur penghinaan kepada lawan politik, mempersendakan tubuh badan, ini bukan sebagai pemimpin parti Islam.

“Pihak pasukan polis iaitu Ketua Polis Negara (Tan Sri Razarudin Husain) telah memaklumkan kepada saya berdasarkan aduan-aduan diterima yang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman dan setakat ini 30 laporan polis diterima terhadap Muhammad Sanusi,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Penyerahan Zakat Wakalah, di Ibu Pejabat Polis Kontijen Pulau Pinang, di sini pada Jumaat malam.

Beliau berkata, laporan berkenaan melibatkan beberapa kes termasuk penghinaan terhadap Sultan Selangor dan pihak USTJ ada masa tujuh hari untuk menyelesaikan satu-satu siasatan 3R itu sebelum diserahkan kepada Peguam Negara.

Saifuddin Nasution berkata, peringatan tegas telah diberikan berulang kali sama ada oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain supaya isu berkenaan 3R itu tidak wajar sama sekali disentuh tetapi Menteri Besar Kedah itu masih memainkan isu berkenaan yang disifatkan beliau sudah sampai ke tahap yang berbahaya.

Katanya, dalam politik boleh berbeza pendapat dan aliran tetapi peringatan sudah diberi berulang kali sama ada oleh Perdana Menteri atau Ketua Polis Negara yang mana soal 3R tidak boleh dimainkan atau disentuh.

“Laporan akhir (kes terkini berkaitan isu 3R melibatkan Muhammad Sanusi) menjadi signifikan perlunya tindakan tegas diambil, jika tidak kesannya sangat besar. Tidak ada lagi rasa hormat kepada Institusi Raja-Raja Melayu seperti mana peranan mereka diiktiraf di dalam Perlembagaan.