Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan dakwaan pelajar Tingkatan Empat, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, yang ditemukan maut selepas disyaki dibunuh di dewan sekolah di Yong Peng, kelmarin, diheret dari surau ke tempat kejadian, seperti yang tular di media sosial.

Menteri, Datuk Seri Fadhlina Sidek, turut menafikan dakwaan terdapat cermin yang pecah di surau, yang dikaitkan dengan kejadian itu.

“Jadi, ini semua tidak benar. Saya minta semua pihak berhati-hati sebelum berkongsi sesuatu. 

“Kita sedang bercakap mengenai seorang anak yang sudah meninggal dunia, sebuah keluarga yang sedang berduka dan beberapa orang murid bawah umur yang sedang melalui proses siasatan.

“Jadi jangan kita menambah luka dengan spekulasi,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini. 

Fadhlina, berkata mengikut perkembangan terkini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan dan beberapa murid ditahan, selain seorang daripadanya direman.

“Saya tidak mahu mendahului siasatan PDRM, dan tidak boleh menjatuhkan hukuman di luar proses undang-undang.

“KPM akan memberikan kerjasama sepenuhnya, dan apa saja maklumat diperlukan pihak polis, akan kita serahkan,” katanya.

Fadhlina menegaskan, tindakan susulan akan segera dilaksanakan bagi perkara di bawah tanggungjawab KPM, seperti keselamatan sekolah, disiplin, sokongan psikososial dan berkaitan pengurusan sekolah.

Tindakan susulan segera, syarikat sekuriti

Beliau mengarahkan aspek pengurusan dan keselamatan di sekolah itu diperiksa secara menyeluruh, termasuk kawalan keluar masuk, kamera litar tertutup (CCTV), rondaan, pematuhan SOP keselamatan dan pelaksanaan tugas syarikat kawalan keselamatan pada hari kejadian.

“Syarikat kawalan keselamatan dilantik KPM mempunyai skop kerja dan obligasi kontrak jelas, termasuk kawalan keluar masuk, rondaan di kawasan ditetapkan serta pematuhan kepada jadual dan tugasan ini secara keseluruhan. 

“Bagi syarikat kawalan keselamatan sekolah ini, semakan sedang dibuat terhadap rekod rondaan dan pelaksanaan tugas pada hari kejadian. Jika terdapat pelanggaran terhadap skop kontrak, tindakan boleh diambil berdasarkan terma ditetapkan termasuk notis ketidakpatuhan, tindakan kewangan dan penamatan kontrak jika syaratnya dipenuhi,” katanya.

Fadhlina memaklumkan, pasukan sokongan psikososial KPM juga sudah digerakkan bagi membantu keluarga mangsa, rakan, murid dan warga sekolah yang terkesan. 

“Pegawai psikologi dan kaunselor akan terus bersama mereka mengikut keperluan. Kita perlu faham bahawa kesan kejadian tidak berakhir apabila perhatian media berakhir.

“Ada anak-anak dan warga sekolah memerlukan masa dan sokongan untuk kembali menjalani rutin mereka,” katanya.

Tiada CCTV di dewan sekolah

Fadhlina berkata, dewan sekolah, iaitu lokasi Irene Sofiya ditemukan maut selepas disyaki dibunuh kelmarin, tidak dilengkapi dengan kemudahan kamera litar tertutup (CCTV).

Katanya, sekolah menengah di Yong Peng itu mempunyai CCTV, namun ia tidak dipasang di tempat kejadian jenayah itu berlaku.

“Jadi, kita sedang tambah baik, kita ambil tindakan terus. 

“Sebab itu, selain daripada fasa (menambah kemudahan CCTV), mana-mana sekolah yang sudah pun mempunyai CCTV dan CCTV itu tidak berfungsi atau rosak, sila maklumkan kepada kita untuk kita sama-sama tambah baik dan ambil tindakan supaya ia berfungsi untuk merakam serta merekodkan kejadian di sekolah,” katanya. 

Fadhlina berkata, pemasangan CCTV antara 11 langkah tambahan dilaksanakan KPM untuk meningkatkan keselamatan institusi pendidikan, siap sepenuhnya pada November 2025 bagi fasa satu dengan kos RM3 juta.

Fasa dua pemasangan membabitkan peruntukan RM5 juta di 333 sekolah berasrama, siap sepenuhnya September tahun ini, manakala fasa tiga untuk tahun depan, memperuntukkan RM15 juta membabitkan 1,000 sekolah.

“Ramai meminta KPM memasang lebih banyak CCTV di sekolah, seolah-olah kemudahan ini belum pernah dilaksanakan. Seperti yang saya nyatakan, ia akan terus diperluas pada tahun hadapan.

“KPM juga sudah mengarahkan pemeriksaan dan pembaikan serta penggantian unit yang rosak,” katanya.

CCTV bukan penyelesaian tuntas isu keselamatan sekolah

Fadhlina berkata, bagaimanapun CCTV bukan penyelesaian tuntas kepada keselamatan sekolah, sebaliknya bertujuan membantu pemantauan dan siasatan.

Keselamatan sekolah bergantung kepada rondaan, kawalan keluar masuk, pematuhan SOP, disiplin dan kepekaan seluruh warga sekolah.

Justeru KPM mengalu-alukan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), komuniti dan pihak korporat yang mahu membantu menambah baik kemudahan CCTV di sekolah, tertakluk kepada keperluan dan ketetapan keselamatan. 

“Ini tidak bermaksud tanggungjawab dipindahkan kepada orang lain. Kerajaan akan terus melaksanakan tanggungjawabnya tetapi jika ada pihak yang mahu bersama-sama membantu meningkatkan keselamatan anak-anak, kita amat alu-alukan,” katanya.

Irena Sofiya pelajar cemerlang

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, Irene Sofiya mempunyai pencapaian akademik yang sangat baik dan tidak mempunyai sebarang isu disiplin. 

Katanya, berdasarkan maklum balas pihak sekolah, Allahyarhamah Irene Sofiya ialah seorang murid yang baik dan disayangi guru serta rakan.

“Kehilangan ini tentunya sangat dirasai, bukan sahaja oleh keluarga tetapi seluruh warga sekolah yang mengenali beliau,” katanya. 

Anak tunggal kehilangan ibu ketika 9 tahun

Irene SofiyaIrene Sofiya adalah anak tunggal yang kehilangan ibu ketika berusia sembilan tahun akibat kanser hati.

Semalam media melaporkan, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, ditemui maut di bawah pentas dewan sekolah dipercayai dibunuh. 

Mangsa ditemui neneknya yang datang ke sekolah berkenaan selepas menyedari cucunya tidak pulang ke rumah selepas kelas tambahan, kira-kira 5.30 petang, kelmarin. 

Susulan itu, tiga pelajar lelaki berusia 16 tahun yang dipercayai ada kaitan kes berkenaan ditahan beberapa jam selepas mayat pelajar perempuan itu ditemui.

Seorang pelajar lelaki Tingkatan Empat ditahan reman enam hari di Mahkamah Majistret Batu Pahat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. -BH Online