Sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) bakal mencipta satu lagi sejarah, khususnya dalam memperkukuh hubungan diplomatik Melaka dengan China yang terjalin sejak ratusan tahun lalu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata ini kerana hari pelancaran sambutan TMM2024 yang akan diadakan serentak Malam Ambang Tahun Baharu 2024 pada 31 Disember ini, akan turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan dari negara berkenaan.
Katanya, sambutan di Dataran Pengkalan Rama, di sini, akan menampilkan dua kumpulan kebudayaan dari Wilayah Autonomi Guangxi menerusi persembahan ikoniknya dengan mempamerkan simbolik hubungan negeri ini dengan China yang terbina sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka.
“Ini membuktikan pengiktirafan China terhadap hubungan diplomatik yang terjalin sekian lama dan ia bakal dipersembahkan pada malam sambutan berkenaan.
“Ketika kunjungan saya ke Wilayah Autonomi Guangxi baru-baru ini, Gabenornya, Lan Tianli menyokong penuh sambutan TMM2024 dan bakal memberi kerjasama yang baik sebagai tanda hubungan terbabit.
“Justeru, saya melihat bahawa promosi TMM2024 ini sudah melangkaui sempadan yang mana bukan sahaja menarik pelancong domestik, bahkan pelancong luar negara, khususnya dari China,” katanya selepas meninjau tapak sambutan di Dataran Pengkalan Rama.
Yang turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Datuk Murad Husin serta Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Sa’ari Basiron.
Ab Rauf berkata, sekiranya mendapat kebenaran pemerintah China, malam sambutan TMM2024 akan dipancarkan secara langsung ke negara berkenaan menerusi stesen Guangxi Radio and Television.
Sementara itu, beliau berkata, setakat ini, persiapan bagi sambutan ambang TMM2024 sudah mencapai 50 peratus dan dijangka menjangkau 90 peratus menjelang minggu hadapan.
Beliau berkata, selain fokus terhadap sambutan itu, kerajaan negeri menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) turut mengambil kira aspek penyuraian trafik untuk orang ramai yang hadir.
“Kita bekerjasama dengan pihak keselamatan lebih sebulan yang lalu untuk penyuraian trafik, jadi saya yakin pada malam itu, keadaan lalu lintas akan lebih baik dengan kawalan petugas keselamatan,” katanya.-BH Online