Pengerusi Amanah Selangor Izham Hashim mengesahkan bahawa partinya akan bertanding di sembilan DUN di Selangor dalam pilihan raya negeri bulan depan.
Amanah akan mempertahankan DUN Sabak, Meru, Pandan Indah, Hulu Kelang, Morib, Seri Serdang, Sungai Ramal dan Taman Templer.
“Satu lagi kerusi adalah Hulu Bernam, kami tukar dengan Barisan Nasional (BN), manakala kerusi Jeram mereka (BN) ambil,” Izham dipetik berkata oleh Bernama.
Dalam menghadapi cabaran pihak lawan – Perikatan Nasional – Izham yakin partinya akan dapat mempertahankan lapan dari sembilan kerusi DUN.
“Kami dah perintah Selangor tiga penggal, kita boleh lihat stabil, makmur dan sejahteranya Selangor ini. Tiada sebab pengundi mahu membuat pertukaran.
“Pencapaian (Selangor) bagus, kami ada rekod sangat baik, program untuk rakyat daripada berbelas-belas (sebelum ini) sekarang ada 46 program untuk rakyat. Selain itu, kami tidak terlibat dengan skandal atau kes korup, curi duit rakyat,” katanya.
Izham turut menambah bahawa senarai calon sudah dipilih dan hanya perlu dimutamadkan oleh kepimpinan tertinggi Amanah.
“Jawatankuasa calon dah selesai pilih (calon), esok (hari ini) dibawa ke peringkat tertinggi untuk mengesahkan nama-nama yang dicalonkan. Kami akan umum setelah selesai kelak.
“Calon-calon yang dipilih haruslah mempunyai kriteria ditetapkan seperti kelulusan akademik, pengalaman dalam politik, boleh bekerja dan berjawatan dalam parti,” katanya sambil menambah Amanah akan menampilkan kombinasi muka baharu dan lama, anak muda serta wanita.