Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Perladangan dan Komoditi yakin eksport minyak sawit dan produk-produk berkaitan minyak sawit Malaysia ke China akan terus meningkat tahun ini, dengan permintaan yang lebih tinggi terutamanya daripada sektor oleokimia dan makanan haiwan yang berkembang pesat di republik itu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan Malaysia untuk mengukuhkan lagi hubungan perdagangan dengan China, negara itu secara proaktif meneroka cara-cara inovatif bagi memaksimumkan nilai dan fleksibiliti minyak sawit dan meluaskan jangkauannya ke pelbagai pasaran.

“Perdagangan ini mencerminkan intipati perkongsian kami – saling menghormati, persefahaman dan visi bersama untuk masa depan yang mampan dan makmur.

Seperti yang diingatkan oleh satu pepatah Cina yang terkenal: ‘Sebatang pokok tidak menjadikannya hutan; satu tali gitar tidak boleh menghasilkan muzik’.

“Ini (pepatah) secara indah merangkum semangat kerjasama dan pertumbuhan bersama yang dialami oleh kedua-dua negara ini. Sama seperti mencipta muzik dengan lebih daripada satu tali, kesinambungan dan kejayaan perdagangan minyak sawit ini terletak pada usaha bersama dan hubungan harmoni di antara kami,” katanya dalam ucaptama di mesyuarat Meja Bulat Peringkat Tinggi bersama Pemegang Taruh Utama Minyak Sawit di sini, hari ini.

 Fadillah memberitahu tahun lepas sahaja, eksport minyak sawit dan produk-produk berkaitan minyak sawit dari Malaysia ke China mencecah US$3.72 bilion atau RM14.86 bilion.

Jumlah yang besar itu membentuk 11.4 peratus daripada jumlah eksport Malaysia bagi derivatif sawit di seluruh dunia, yang bersamaan dengan RM130.25 bilion.

Beliau menekankan bahawa perdagangan dua hala adalah kerjasama menang-menang kerana ia memberi manfaat kepada kedua-dua negara iaitu China dan Malaysia dan ini termasuklah institusi kewangan, syarikat logistik dan industri lain yang mempunyai kesan gandaan.

“Kita tidak seharusnya mengabaikan peluang pekerjaan yang dijana oleh sektor langsung dan tidak langsung berkaitan perdagangan minyak sawit. Dalam hal ini, kita mesti terus mencari jalan untuk menambah baik perdagangan minyak sawit, yang menguntungkan kedua-dua negara.

“Ini termasuklah inisiatif untuk memacu pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang bertujuan memperkenalkan rangkaian produk berasaskan sawit baharu ke pasaran global,” katanya sambil menambah ia termasuk produk-produk nutraseutikal dan farmaseutikal berasaskan sawit yang inovatif, dan minyak sawit merah yang terkenal dengan pelbagai manfaat kesihatan,” katanya.

Fadillah dalam lawatan rasmi sulungnya ke China dari 12-19 Nov untuk mengukuhkan kerjasama dalam R&D serta pembinaan kapasiti dalam sektor komoditi, terutamanya dalam mempromosikan skim pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) di peringkat global.-Bernama