Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang baru kembali daripada menghadiri Sidang UNESCO di Paris melahirkan rasa gembira kerana beberapa segmen yang diketengahkan Malaysia dalam sidang tersebut telah mendapat perhatian yang baik daripada penganjur.

Antaranya, kata beliau ialah tentang kerjasama Malaysia dengan Singapura, Thailand, Indonesia dan Brunei untuk mengangkat kebaya sebagai salah satu budaya di peringkat Asia Tenggara.

Seterusnya, menurut Fadhlina, isu berkaitan Pendidikan Digital dan Pendidikan Manusiawi turut diberi perhatian.

“Malah ada delegasi yang ingin mengetahui lebih lanjut dua perkataan yang kita ketengahkan iaitu Islah dan Pendidikan Manusiawi.

“Mereka ingin belajar apa itu Islah atau Reform dalam konteks pendidikan, begitu juga dengan Pendidikan Manusiawi dalam konteks pendidikan itu sendiri,” katanya ketika ditemui di KLIA sekembalinya dari Sidang UNESCO itu malam tadi.

Fadhlina selaku Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia telah mengetuai delegasi negara ke Persidangan Agung Pertubuhan, Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) kali – 42 di Paris, Perancis pada 7 November hingga 10 November 2023.

Selain gembira kerana suara Malaysia diterima dengan baik oleh penganjur dan delegasi negara lain, Fadhlina juga berkata, nama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim begitu popular di UNESCO.

“Malah gambar beliau masih terpamer di dinding UNESCO,” ujar Fadhlina dengan bangga.

Menurutnya, nama Perdana Menteri begitu dikenali kerana pernah menerajui UNESCO sebelum ini, selain nama Malaysia itu sendiri tidak pernah terlalu jauh dengan UNESCO.

Tambahan pula, kata beliau, jasa dan sumbangan Anwar juga terhadap UNESCO memang sudah sedia ada sebelum ini lagi.

Dalam hal berkaitan, tambah beliau, sudah tentu komitmen Malaysia ialah untuk terus bersama UNESCO buat selama-lamanya.

Ia kata beliau, bagi memastikan kualiti pendidikan dan amalan pendidikan damai dapat terus disebarluaskan lagi.-Noraini Nordin / MP