Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengingatkan pengguna supaya menjaga kesihatan mental dan emosi masing-masing ketika melayari berita serta gambar dari Gaza di semua platform media sosial.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut menasihati para pengguna yang berasa terganggu dari segi mental dan emosi dengan gambar serta berita yang diterima dari Gaza agar mendapatkan khidmat kaunseling daripada pakar.
“Waktu ini kita terima banyak berita yang agak hiba dan menyedihkan dari Gaza. Jadi aspek kesihatan mental juga perlu kita tingkatkan kerana kadangkala apa yang kita lihat dalam media sosial itu tidak ditapis.
“Seperti gambar kematian yang mungkin boleh meninggalkan kesan kepada kita apatah lagi golongan kanak-kanak,” katanya kepada pemberita ketika hadir pada majlis menjelang sambutan ke-50 tahun Hospital Pantai Kuala Lumpur pada 1 Feb 2024 hari ini.
Fahmi berkata secara jujur dirinya juga turut terganggu terutama dalam minggu-minggu pertama serangan ke atas Gaza sejak bulan lepas.
“Saya sendiri apabila buka Instagram Facebook, Twitter (X) dan TikTok, saya pun tak boleh kawal emosi secara peribadi. Ia amat sedih tengok ibu mendakap anak yang telah meninggal dan jenazah dibawa keluar daripada runtuhan. – Bernama