Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Pembangunan belia luar bandar juga merupakan salah satu teras di bawah Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030 oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW). Ini termasuk membangunkan belia berkemahiran ke arah belia berpendapatan tinggi.

Menerusi Future of Jobs Report 2023 yang diterbitkan oleh World Economic Forum pada April tahun ini menjelaskan antaranya bahawa dalam tempoh 5 tahun akan datang, sebanyak 89 juta pekerjaan dijangkakan akan hilang, manakala sebanyak 69 juta pekerjaan baharu bakal terhasil.

Yang menariknya, beberapa kelompok pekerjaan yang akan menyaksikan pertumbuhan yang stabil adalah dalam lapangan yang mempunyai kaitan langsung dengan TVET. Misalnya, operator atau pengendali mesin dan teknologi, penganalisis teknologi Artificial Intelligent (AI) yang dijangka akan bertumbuh sehingga 40%, dan tenaga pengajar atau pelatih vokasional.

Malah, laporan tersebut turut menekankan bahawa, 41% daripada tenaga kerja dalam pasaran pada tahun 2023 mesti dilatih semula atau ditingkatkan kemahirannya menjelang 2027. Ini bermakna, program skilling, reskilling dan upskilling akan menjadi sesuatu yang sudah tidak boleh dielakkan dan harus menjadi antara pelaburan terbesar pihak industri.

Menyedari hakikat ini, KKDW mengambil langkah proaktif melalui saluran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang digerakkan oleh beberapa agensi di bawah KKDW yang dikenali sebagai TVET@KKDW.

Kini terdapat sebanyak 280 institusi TVET@KKDW dengan 529 program yang ditawarkan dari peringkat Sijil hingga Ijazah Kedoktoran.

Terdapat 15 kluster diperkenalkan iaitu pertanian dan agrikultur, hospitaliti dan kulinari, fesyen dan pakaian, kecantikan, bioteknologi, mekanikal dan pembuatan, kejuruteraan awam dan seni bina, teknologi bahan, elektrik dan elektronik, minyak dan gas, perubatan dan penjagaan kesihatan, senireka dan multi media kreatif, pengangkutan dan teknologi logistik, keusahawanan dan teknousahawan serta teknologi maklumat dan komputer.

Pemerkasaan TVET@KKDW turut mendapat tumpuan khusus oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang memperkenalkan beberapa projek berimpak tinggi khususnya dalam bidang TVET untuk memastikan belia Malaysia cukup terlatih dalam setiap bidang kemahiran yang diceburi.

Projek berimpak tinggi seperti Program Latihan Khas untuk Pensyarah TVET merangkumi proses upskilling dan reskilling melalui pembelajaran dan pensijilan profesional.

Program ini melibatkan kolaborasi antara Institusi TVET dengan pemain industri besar seperti Syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Swasta bermula seawal tahun 2024.

Kerjasama dengan pemain industri melibatkan perkongsian ilmu dan teknologi terkini, peningkatan akademik serta kemahiran untuk pensyarah, pelajar dan graduan TVET serta golongan belia dilaksanakan agar belia Malaysia menerima ilmu dan kemahiran yang sewajarnya bagi memenuhi keperluan industri.

Selain itu, pelbagai jenis persijilan ditawarkan di bawah TVET@KKDW bagi memberi peluang kepada golongan belia yang memiliki pelbagai latar belakang akademik untuk mengikuti pengajian teknikal di TVET@KKDW seperti pensijilan diakreditasi oleh pihak Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan pengiktirafan daripada pelbagai agensi bertauliah, seperti Engineering Technology Accreditation Council (ETAC) dalam bidang kejuruteraan, Malaysia Board of Technologies (MBOT) dalam teknologi kejuruteraan dan sebagainya.

Selain menyediakan graduan untuk pasaran pekerjaan, TVET@KKDW juga memfokuskan kepada pembangunan usahawan TVET atau dikenali sebagai Teknousahawan.

Antara program Teknousahawan yang dijalankan di Institut Kemahiran MARA (IKM) ialah Diploma Teknousahawan Perabot dan Diploma Tekno Usahawan Reka Bentuk & Percetakan Fabrik.

Pelajar-pelajar yang mengikuti program ini disyaratkan untuk mendaftarkan syarikat dan dinilai kelulusannya menerusi penetapan jumlah jualan.

Program sebegini telah menghasilkan ramai usahawan yang berjaya dengan latihan yang menerapkan sepenuhnya kepada pembangunan keusahawanan.

Bagi memastikan mutu pendidikan TVET@KKDW terus ditambah baik, pelbagai inisiatif dan transformasi juga turut dilaksanakan. KKDW mula melaksanakan program artikulasi dan rasionalisasi institusi pendidikan TVET@KKDW.

Secara ringkas, program artikulasi telah mewujudkan satu laluan (pathway) yang jelas bagi memudahkan pelajar daripada peringkat Sijil untuk menyambung pelajaran ke peringkat Diploma seterusnya ke peringkat ijazah di dalam ekosistem Institusi Pendidikan TVET@KKDW.

Program rasionalisasi pula melibatkan penyusunan semula program dengan lebih giat bagi meningkatkan kualiti program serta mengurangkan pertindihan penawaran program di kalangan institusi pendidikan TVET@KKDW. Turut diperkenalkan konsep Teaching Factory sebagai sebahagian inisiatif model Industry Based Education and Training (IBET) di Institusi TVET@KKDW.

Model IBET memberi peranan kepada institusi TVET sebagai pusat pengajaran dan pembelajaran berorientasikan industri bagi memastikan kualiti graduan TVET yang dihasilkan adalah memenuhi keperluan industri berasaskan konsep supply and demand.

Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) merupakan pelopor kepada konsep ini, di mana pelajar atau pelatih didedahkan secara terus kepada penggunaan dan penguasaan teknologi terkini, di samping merasai pengalaman kerja seperti mana di industri dan seterusnya menghasilkan graduan industry-ready

Dalam masa yang sama, program TVET-Tahfiz dan TVET Junior yang diilhamkan oleh YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sejurus beliau menerajui KKDW turut diperkenalkan.

TVET-Tahfiz merupakan pendidikan secara dual pengajian yang menggabungkan elemen kemahiran dan hafazan al-Quran. Program TVET-Tahfiz yang dilaksanakan membuka peluang kepada pelajar berumur 17 tahun ke atas dan menghafaz sekurang-kurangnya 10 juzuk al-Quran untuk melanjutkan pengajian di peringkat Diploma tanpa menjejaskan pengajian tahfiznya.

Pelajar yang tidak mempunyai kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) boleh dipertimbangkan untuk mengikuti program ini dengan mengikuti bridging khas TVET-Tahfiz sebagai persediaan, sebelum pelajar mengikuti program Diploma kemahiran yang ditawarkan.

Selepas tamat pengajian, pelajar akan dianugerahkan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM), Sijil kompetensi, Sijil pencapaian hafazan dan Sijil Syahadah Tahfiz (sekiranya pelajar lulus Majlis Syahadah) yang akan dianugerahkan oleh pusat tahfiz bertauliah.

Pelaksanaan program TVET-Tahfiz diyakini mampu melahirkan graduan berkemahiran yang kompeten dan celik al-Quran serta meningkatkan kebolehpasaran pelajar tahfiz dalam pelbagai bidang kemahiran.

TVET Junior pula diwujudkan oleh GIATMARA untuk memberi asas pengetahuan dan latihan teknikal kepada pelajar sekolah mengikut kesesuaian masa, tempat dan kursus yang ditawarkan.

Terdapat 168 kursus dan modul jangka pendek yang ditawarkan di bawah 232 buah GIATMARA dengan mensasarkan pelajar sekolah berusia antara 12 hingga 16 tahun. Menerusi program TVET Junior, pelajar akan mengikuti modul yang bersesuaian seperti kursus asas elektrik, selenggaraan motorsikal, jahitan, bakeri dan sebagainya.

Pelajar-pelajar ini akan diberikan Sijil Penyertaan TVET Junior berdasarkan kepada penilaian penghasilan produk atau servis yang telah dilaksanakan.

Diharapkan agar pendidikan TVET negara dapat terus diperkasa dan dimartabatkan oleh semua pihak. Stigma pendidikan TVET adalah pendidikan kelas kedua seharusnya dilenyapkan didalam pemikiran sesetengah masyarakat masa kini.

Permintaan yang tinggi bagi pekerja yang mempunyai kepakaran tertentu pada era IR4.0 adalah bukti bahawa pendidikan TVET adalah penting bagi negara kita dalam memacu Malaysia kearah negara membangun.