Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Lebih 8,000 rakyat Palestin telah dibunuh dalam serangan kejam Israel yang memasuki hari ke-23.

Kementerian Kesihatan Gaza berkata, seramai 7,950 maut di Gaza manakala 114 lagi mati dibunuh oleh Israel di Tebing Barat.

Manakala jumlah mangsa yang cedera telah melebihi 20,000 orang di kedua-dua wilayah Palestin berkenaan.

Menurutnya, terdapat 73 peratus yang maut di Semenanjung Gaza terdiri daripada kanak-kanak, warga emas dan wanita.

“Kementerian Kesihatan menyeru derma darah dan merayu kepada Pertubuhan Palang dan Bulan Sabit Merah dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia untuk membekalkan unit darah dari luar Semenanjung Gaza dari Tebing Barat dan Mesir,” katanya dalam kenyataan.

Penggunaan harian bahan perubatan ketika perang adalah bersamaan dengan penggunaan bulanan sebelum perang.

Sebanyak 12 daripada 35 hospital di Gaza dan 46 daripada 72 klinik penjagaan kesihatan primer telah ditutup kerana rosak dan musnah akibat pengeboman atau kekurangan bahan api. Kemasukan bahan bakar ke Gaza masih diharamkan oleh Israel.

“Kekurangan bahan api dan elektrik yang teruk menjejaskan fungsi paling kritikal di semua hospital dan keupayaan ambulans untuk bertindak balas.

“Kehabisan bahan api membahayakan nyawa pesakit yang cedera, pesakit dalam rawatan rapi, mereka yang memerlukan pembedahan, sebagai tambahan kepada inkubator neonatal dan lebih 1000 pesakit yang bergantung kepada dialisis,” jelasnya.

Sementara itu sebanyak 177,781 kediaman telah musnah dibom dengan lebih 260 serangan dilakukan terhadap fasiliti kesihatan.

Dalam pada itu keseluruhan trak bantuan kemanusiaan yang memasuki Gaza sejak 21 Oktober hingga 27 Oktober telah mencecah 84 buah.

Sebelum pencerobohan Israel, purata 500 trak muatan memasuki Gaza setiap hari bekerja.-MalaysiaGazette