Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Op Tiris dan Op Taring, menahan 15 individu yang terbabit dalam aktiviti penyelewengan minyak diesel dan sindiket penyeludupan ayam sejuk beku, sepanjang 10 hingga 20 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Hazani Ghazali, berkata operasi itu dilaksanakan Bahagian Jenayah Hidupan Liar Biro/Risikan Siasatan Khas (WCB/PSK) yang melancarkan empat serbuan Op Tiris dan lapan serbuan Op Taring di seluruh negara.

Katanya, menerusi empat serbuan Ops Tiris, seramai 12 termasuk 11 lelaki tempatan berusia 20 hingga 48 tahun dan seorang warga Myanmar berumur 22 tahun ditahan.

“Keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1,468,321 dan kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Dalam Op Taring, pasukan khas berjaya menahan seorang lelaki dan dua wanita warga Indonesia berusia 26 hingga 36 tahun ditahan, bersama 54,515 kotak pelbagai makanan beku, 144 paket gula pasir dan 880 paket minyak masak.

“Keseluruhan rampasan dianggarkan RM14,121,465.36 dan kes disiasat mengikut Enakmen Haiwan 2015 dan Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Hazani berkata, operasi yang dilancarkan berjaya mengekang dan memutuskan rangkaian sindiket penyeludupan barangan kawalan dan bersubsidi serta sindiket penyeludupan makanan sejuk beku yang aktif di seluruh negara.

Katanya, sejak Januari hingga Oktober tahun ini, WCB/PSK melakukan 165 serbuan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak dengan keseluruhan tangkapan seramai 392 orang yang terdiri daripada 291 lelaki tempatan berusia 18 hingga 60 tahun, 27 wanita tempatan berusia 19 hingga 35 tahun.

“Dalam operasi itu, seramai 64 lelaki warga asing berusia lingkungan 19 hingga 45 tahun dan 10 wanita asing berusia 30 jingga 36 tahun berjaya ditangkap.

“Keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM215,565,308.87,” katanya. -Berita Harian